Pasar Borong KL perlu 2 bulan untuk kembali pulih selepas PKPD


Khoo Gek San

Kawasan sekitar Pasar Borong KL di Selayang dikenakan PKPD yang akan berakhir 12 Mei ini, ia menjejaskan pergerakan pekerja pasar borong yang menjadi hab utama bekalan makanan Lembah Klang itu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Mei, 2020.

SEKURANG-KURANGNYA dua bulan diperlukan sebelum kapasiti operasi Pasar Borong KL di Selayang kembali pulih walaupun selepas perintah kawalan pergerakan diperketat di kawasan itu dibatalkan, kata peniaga.

Mereka memberitahu The Malaysian Insight yang terdapat masalah serius kekurangan pekerja pasar itu dan hanya 50% peniaga sayur dan makanan laut di situ beroperasi bagi memastikan bekalan makanan tidak terganggu.

Sebelum pasar itu diletakkan di bawah PKPD, majoriti pekerja di situ adalah warga asing yang kini dilarang memasuki kawasan pasar kerana risiko jangkitan dan ketiadaan permit kerja.

Peniaga pula enggan mengupah pekerja tempatan kerana mereka perlu menanggung kos ujian Covid-19 untuk setiap pekerja.

Sing Kian Hock yang merupakan presiden Persatuan Pemborong Ikan Kuala Lumpur Hoi Seng berkata pada awal pagi semalam iaitu hari pertama perintah kawalan pergerakan dilonggarkan dikuatkuasa, hampir 50 pemborong ikan membuka kedai masing-masing.

“Ada pemilik gerai meminta tolong orang tempatan, saudara mara atau kawan. Bagaimanapun, tenaga kerja masih tak cukup. Sebelum ini, kita ada 800 pekerja asing bekerja di sini,” kata Sing.

Terdapat 168 kedai makanan laut dan 320 kedai pemborong ikan di situ.

Sing berkata beberapa pemborong ikan memutuskan tidak beroperasi kerana kekurangan pekerja, jualan rendah dan kekurangan kedatangan peniaga pasar kecil lain untuk membeli barangan di situ.

Katanya lagi, kes peniaga pasar lain yang dijangkiti Covid-19 di Pasar Borong KL juga menyebabkan wujud kebimbangan.

“Ada peniaga yang takut ke mari untuk beli barang kerana takut dijangkiti yang kemudiannya menjangkiti pula pelanggan mereka,” katanya.

“Lagipun sekarang sukar hendak menjangka sama ada harga akan terus turun kerana kurangnya permintaan dan bekalan makanan laut.

“Tetapi ramai pemilik kedai masih beroperasi bagi memastikan bekalan tidak terjejas di Selangor dan Kuala Lumpur ketika bulan Ramadan. Makanan laut yang kami pesan dari nelayan juga kurang 50% berbanding biasa.”

Pasar borong itu juga kini berdepan masalah kekurangan antara 700 sehingga 800 pekerja dan memerlukan masa sekurang-kurangnya dua bulan untuk kembali kepada kapasiti penuhnya. – 5 Mei, 2020.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen