Rakyat Maghribi diarah lakukan solat Istisqa'


Seperti jirannya di utara, Portugal dan Sepanyol, Maghribi berdepan masalah kekurangan hujan meruncing sejak akhir musim panas lalu. – Gambar AFP, 24 November, 2017.

RAKYAT Maghribi yang bergantung kepada sektor pertanian diarah melakukan solat Istisqa’ di masjid seluruh negara hari ini memohon hujan, menurut perintah kuasa diraja yang dikeluarkan.

“Semakin sukar peroleh air sekarang. Kami perlu menggali lebih dalam untuk menemuinya,” kata Presiden Persekutuan Pengeluar Maghribi Houcine Aderdour, yang juga peladang oren di wilayah Souss di selatan negara itu.

Seperti jirannya di utara, Portugal dan Sepanyol, Maghribi berdepan masalah kekurangan hujan meruncing sejak akhir musim panas lalu.

Kajian universiti Maghribi menunjukkan suhu meningkat kepada 4 darjah Celsius sejak 1960-an dan taburan hujan tahunan menurun.

Kemarau menjejaskan pengeluaran bijirin musim ini dan memaksa negara berpopulasi 35 juta penduduk itu mengimportnya.

Raja Mohammed VI menggesa solat Istisqa’ diadakan di seluruh masjid di negara itu “merayu Yang Maha Berkuasa menurunkan hujan yang bermanfaat”, kata Kementerian Hal Ehwal Islam dalam kenyataan.

Cuaca menjadi topik perbualan utama seluruh Maghribi di mana 40% penduduknya bergantung kepada pertanian untuk mencari nafkah dan sektor itu merangkumi lebih 15% Keluaran Dalam Negara Kasar. –AFP, 24 November, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen