Lukisan jadi barang bahaya?


Mahdzir Ibrahim

SEPERTI acara yang bermusim, setiap kali ada aktiviti pameran oleh artis di Balai Seni Negara (BSN) atau galeri seni, akan ada keluhan pelukis mengenai karya mereka disisihkan oleh penganjur.

Sebelum ini berlaku isu karya pelukis yang terpilih untuk pameran Bakat Muda Sezaman 2013, hilang daripada senarai pameran. Ia program anjuran BSN.

Di tempat yang sama juga karya pelukis muda Suddin Lappo, pernah hilang seketika dari pameran. Malah, terdapat lagi karya yang menerima nasib serupa di pameran lain.

Yang terbaru, karya kumpulan pelukis Pusat Sekitar Seni (PSS) dan Population Project, yang diwakili lima artis Malaysia dan dua Indonesia, yang bergabung menghasilkan karya instalasi bertajuk “Under Construction” di BSN juga didakwa dicabul.

Laporan The Malaysian Insight menyebut sebahagian komponen karya tersebut “hilang” kerana terdapatnya aduan awam, namun belum ada mana-mana pihak membuat penjelasan mengapa sebahagian karya tersebut dihilangkan.

Apa pun kesalahan artis atau karya tersebut, ia perlu diberi penjelasan yang telus dan adil kerana ini soal prinsip kebebasan berekspresi. Ada orang yang cari makan dengan cara ini, kenalah hormat.

BSN sebuah institusi yang sah, diiktiraf oleh kerajaan sebagai arena buat golongan budayawan memperagakan ekspresi mereka kepada khalayak. Ruang ini dilindungi oleh undang-undang bersama kewujudan BSN.

Saya melihat bagaimana BSN yang sepatutnya menjadi tempat yang selamat untuk seniman berkarya, tidak berlaku.

Jika Parlimen tempat yang selamat untuk wakil rakyat berbahas dan berbincang menggubal dasar atau undang-undang, begitu juga dengan galeri awam yang disediakan buat seniman berhimpun, berdialog serta mempamerkan idea dan kreativiti mereka dengan selesa dan selamat.

Setiap agensi atau mana-mana pihak harus menghormati peranan BSN sebagai institusi bagi karyawan. Ini parlimen mereka.

Peranan BSN sebagai penganjur pameran juga perlu dipersoalkan kerana setiap penganjuran sudah semestinya mempunyai kriteria pemilihan bagi setiap karya.

Bagaimana boleh berlaku, karya yang dianggap “menyalahi” undang-undang boleh dipilih untuk menyertai pameran pada peringkat awal?

Tidakkah mereka mempunyai panel kurator untuk memilih atau menyaring setiap jemputan atau permohonan penyertaan sebelum karya disenarai untuk dipamerkan?

Di peringkat BSN sendiri sudah banyak masalah yang harus diteliti. BSN ini agensi awam, agensi yang menerima peruntukan tahunan berjuta-juta ringgit daripada wang cukai rakyat.

Maka operasi mereka perlu telus dan mereka wajar menjelaskan setiap tindakan mereka kepada seniman. Ini bukan galeri peribadi.

Hingga kes yang terbaru ini, belum ada lagi mana-mana wakil rakyat yang menyentuh secara serius masalah berulang-ulang ini.

Adakah kerana mereka terlalu sibuk hingga tidak ada masa untuk mengkaji isu ini? Atau adakah kerana mereka merasakan perkara ini tiada kaitan dengan hak dan undang-undang?

Saya tidak menyalahkan usaha mana-mana parti politik yang bekerjasama dengan artis atau seniman dan sasterawan negara untuk tujuan politik mereka. Sebab, penyertaan golongan seniman dalam kepartian atau politik juga penting.

Namun, parti atau pemimpin politik perlu berlaku adil dengan setiap golongan seniman, jangan selektif membawa isu untuk diangkat atau dibincangkan hanya berdasarkan kepentingan politik kepartian semata-mata.

Jika karya seperti isu ini dianggap “berbahaya”, yang membawa masalah kepada daulah, ini bermakna karya tersebut berpengaruh kepada masyarakat.

Jika benarlah karya ini berpengaruh, mengapa ahli politik pembangkang tidak mengambil kesempatan untuk membelanya?

Atau, sememangnya pihak pembangkang tidak ada beza dengan kerajaan yang ada, yang melihat karya-karya ini “berbahaya” kepada masyarakat?

Siapa yang “berbahaya” kepada masyarakat? Lukisan atau aparat politik?

Saya harap misteri kehilangan sebahagian karya ini, hanya kerana masalah teknikal, bukan kerana karya ini barang yang berbahaya. – 24 November, 2017.

*Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pendapat The Malaysian Insight.

* Mahdzir Ibrahim ialah pengarah pendidikan politik DAP Johor.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen