Penyerang Brazil, Robinho dipenjara 9 tahun kerana rogol


Penyerang kelab bola sepak Brazil, Atletico Mineiro, Robinho dijatuhi hukuman penjara sembilan tahun di Itali selepas didapati bersalah merogol secara berkumpulan seorang wanita Albania. – Gambar AFP, 24 November, 2017.

BEKAS penyerang AC Milan dan Real Madrid, Robinho dihukum penjara sembilan tahun di Itali semalam selepas didapati bersalah atas dakwaan merogol secara berkumpulan, menurut laporan media tempatan.

Insiden didakwa berlaku pada Januari 2013, ketika Robinho masih bermain untuk Milan dalam Serie A.

Dia didapati bersalah oleh mahkamah Itali kerana melakukan serangan seksual ke atas mangsa, seorang wanita Albania berusia 22 tahun.

Lima suspek lain turut didakwa atas kesalahan sama tetapi hukuman ke atas mereka belum dipastikan.

Menurut akhbar harian Milan, Corriere della Sera, Robinho dan lima rakannya menyebabkan wanita itu mabuk “hingga tidak sedarkan diri dan tidak mampu untuk menolak”.

Mereka kemudian dikatakan “melakukan hubungan seks beberapa kali secara berturut-turut” dengan mangsa.

Robinho mengaku tidak bersalah dan dia masih boleh merayu atas hukuman berkenaan.

“Kami ingin menjelaskan dia sudah membela dirinya atas tuduhan itu, mengesahkan dia tidak terbabit,” menurut satu kenyataan yang dimuat naik di laman Instagram Robinho.

“Segala aspek undang-undang sedang dipertimbangkan.”

Penyerang 33 tahun Brazil itu kini beraksi untuk kelab Brazil, Atletico Mineiro. Dia tampil beraksi 11 kali bersama negaranya. – AFP, 24 November, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen