JUMLAH kenderaan di jalan raya di sekitar Kuala Lumpur meningkat 30 peratus hari ini sejak penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), hari ini.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur Zulkefly Yahya berkata sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hanya lapan peratus kenderaan berada di jalan raya di pusat bandar ini.
“Sejak penguatkuasaan PKPB, semua lapan sekatan jalan raya Op Covid-19 yang dilaksanakan 24 jam turut ditamatkan namun tugas diteruskan seperti biasa dengan bilangan anggota yang sama,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Menurutnya, semua sekatan jalan raya itu ditamatkan susulan arahan daripada Ketua Polis Kuala Lumpur dan tiada penutupan jalan juga dilakukan di ibu kota pada masa ini.
Katanya, tiada kesesakan berlaku di sekitar ibu kota kecuali di Jalan Tun Razak dan Lebuhraya Seremban selepas Plaza Tol Sungai Besi.
“Kami kini memberi fokus kepada operasi penguatkuasaan trafik termasuk Op Mabuk dan Op Samseng Jalanan selain memantau semua 50 point duty yang kritikal untuk menyurai kesesakan lalu lintas.
“Kami juga membantu dalam membuat pemantauan tempat orang ramai berkumpul atau tempat meletak kenderaan,” katanya.
Ketika ditanya mengenai bantuan kawalan di Kenanga Mall berdekatan Jalan Hang Tuah yang dikatakan sesak sejak pagi tadi, Zulkefly berkata, anggota Trafik Kuala Lumpur membantu kawalan lalu lintas di sekitar kawasan itu.
“Dalam bangunan itu pula dikawal oleh polis dari ibu pejabat polis daerah,” katanya.
Pada 1 Mei lalu, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan pelaksanaan PKPB dengan sebahagian besar aktiviti ekonomi dan sosial dibenarkan beroperasi mulai esok tertakluk kepada syarat-syarat dan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan. – 4 Mei, 2020.
Komen