PKPB: Harapan kepada majikan yang budiman


PENGUMUMAN terkini oleh perdana menteri bersempena sambutan Hari Pekerja pada 1 Mei lalu secara tidak langsung menurunkan mandat kepada majikan tentang tanggungjawab terhadap pekerja mereka, khususnya berkaitan tatacara menjalankan perniagaan tatkala wabak Covid-19 masih aktif mengancam kehidupan manusia.

Keputusan untuk memendekkan perintah kawalan pergerakan edisi 4 dari 12 Mei kepada 4 Mei, bagi memberi laluan lebih selesa kepada fasa mengaktifkan semula ekonomi negara, menuntut kebijaksanaan para majikan untuk membuat keputusan yang melibatkan kelangsungan perusahaan, dan terlebih mustahak lagi yang melibatkan nyawa manusia.

Perdana menteri beberapa kali dalam ucapannya menasihatkan majikan untuk lebih bertimbang rasa dan lebih fleksibel, mengutamakan keselamatan dan nyawa pekerja mengatasi segala yang lain.

Nasihat ini malangnya tidak mendapat perhatian sebagaimana yang diharapkan.

Apapun, dengan bermulanya fasa perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) hari ini, kita berharap majikan benar-benar dapat menginsafi “kuasa” serta beban besar yang diperturunkan oleh kerajaan kepada anda. 

Sebagai contoh, majikan perlu memahami latar belakang setiap pekerja, keperluan serta tahap risiko mereka yang berbeza-beza antara satu dengan yang lain.

Ramai dalam kalangan pekerja yang mempunyai tanggungan ramai di rumah, sama ada yang masih kecil, yang sakit atau tanggungan daripada kalangan warga emas. Risiko mereka dijangkiti lebih besar daripada biasa.

Begitu juga dengan profil kediaman pekerja yang mungkin lebih sempit dan sesak, lebih jauh atau lebih tinggi yang kesemuanya mendedahkan pekerja kepada risiko jangkitan.

Akhir sekali, majikan wajar mengambil kira risiko pekerja menggunakan pengangkutan awam yang sudah tentu lebih padat. Ini termasuklah risiko menggunakan infrastruktur awam semasa bekerja seperti lif, tandas, kafetaria, surau dan lain-lain lagi.

Dalam keadaan negara masih berperang melawan musuh Covid-19 yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar, dan masih jauh masanya sebelum vaksin ditemui dan dapat digunakan secara meluas, majikan secara tidak langsung boleh menjadi penyebab kepada jangkitan baharu.

Sudah tentu lebih menyedihkan lagi apabila keputusan majikan yang kurang bijaksana menjadi asbab pula kepada kematian bukan saja pekerja tetapi kepada insan tersayang di sekeliling mereka.

Kita memahami keputusan perdana menteri untuk melaksanakan PKPB lebih awal. Kerajaan yang bertanggungjawab tidak boleh lari daripada memastikan kesihatan dan kemakmuran ekonomi setiap warganegara sentiasa diutamakan.

Negara tidak mampu untuk bertahan sahaja membiarkan virus ini merosakkan masa depan rakyatnya. Kita tidak mahu bergolok bergadai kerana menginginkan negara yang sifar Covid-19, tetapi akhirnya musnah jua kerana terpaksa merempat.

Nasihat perdana menteri agar pekerja terus dibenarkan bekerja di rumah harus diutamakan oleh setiap majikan.

Fleksibiliti bersyarat yang ditawarkan kerajaan bukanlah lesen besar kepada majikan untuk mengerah setiap keringat pekerja bagi menampung semula kerugian yang mungkin ditanggung sepanjang PKP berlangsung.

Ia bukan juga petanda bahawa kita bebas daripada risiko dijangkiti virus membawa maut ini.

Inilah realiti realiti kehidupan sebenar kepada kebiasaan baharu yang kita harus harungi bersama-sama. – 4 Mei, 2020.

* Mohd Rizal Jaapar ialah pembaca The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen