Pengusaha Melayu lega tapi belum sedia untuk beroperasi


Zaim Ibrahim

Kelonggaran hampir semua sektor beroperasi hari ini menggembirakan peniaga Melayu yang lega kerana teruk terjejas akibat Covid-19. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Mei, 2020.

KELONGGARAN untuk membolehkan hampir kesemua sektor beroperasi hari ini menggembirakan peniaga Melayu yang lega kerana teruk terjejas akibat Covid-19.

Bagi Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), langkah itu akan membantu lebih 700,000 peniaga dalam industri kecil dan sederhana dan menjamin pekerjaan 7 juta tenaga manusia.

Presidennya, Abdul Halim Husin berkata langkah itu akan membolehkan aliran perniagaan dapat diteruskan kembali.

“Kita cuma perlu operasi untuk dapat jaga kelangsungan syarikat, kelangsungan perniagaan dan jaga kelangsungan kehidupan masing-masing.

“Ini adalah tempoh untuk kita terus bertahan bukan ambil keuntungan besar masa perayaan Aidilfitri,” katanya ketika dihubungi The Malaysian Insight.

Beliau berkata peniaga perlu mengambil berat prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan supaya keselamatan pekerja dan orang awam dijaga.

“Saya sarankan semua peniaga Melayu kena jaga SOP seketat mungkin. Ini melibatkan nyawa kita dan orang lain.

“Dan walaupun kita dalam tempoh bertahan, berpada-padalah meletakkan harga, bukan beri alasan kononya untuk tampung kerugian sebelum ini,” jelasnya.

Majlis Tindakan Ekonomi Ekonomi Melayu (MTEM) juga menyambut baik peluang untuk peniaga kembali meraih pendapatan itu dan menggesa rakyat menyokong produk keluaran orang Melayu.

“Rakyat khususnya orang Islam akan menyokong usahawan Bumiputera dan Islam yang perlukan sokongan (kerana) selepas dua bulan semua PKS cukup terkesan dengan PKP.

“Tempoh ini hanya bantu peniaga (kerana) pemulihan perlu lebih lama dan perlu sokongan tambahan daripada kerajaan selain masyarakat dan pengguna.

“Tetapi pastikan SOP dipatuhi kerana kita masih berperang melawan Covid 19,” katanya.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin minggu lalu mengumumkan SOP itu disyaratkan bagi membolehkan hampir semua sektor ekonomi dan aktiviti perniagaan kembali beroperasi.

Namun aktiviti melibatkan perhimpunan ramai dan sentuhan masih dilarang seperti panggung wayang, pusat karaoke, pusat refleksologi, pusat hiburan, kelab malam dan taman tema.

Operasi bazar Ramadan, bazar Aidilfitri, karnival jualan dan semua bentuk persidangan dan pameran juga dilarang.

Jika muncul jangkitan Covid-19 mendadak, premis atau kawasan terlibat akan ditutup dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan boleh dikuatkuasa. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Mei, 2020.

Kebenaran itu bagaimanapun membolehkan operasi seperti perniagaan pakaian Muslim lelaki dan wanita, seperti diusahakan seorang usahawan, Hafiz Abdul Walid Mohd Zain, 28.

Katanya, sekatan sewaktu PKP sejak 18 Mac menyebabkan beliau tidak mampu mengaut keuntungan sehingga RM1 juta seperti jualan Aidilfitri pada tahun-tahun sebelumnya.

Bagaimanapun, beliau masih belum bersedia untuk beroperasi semula hari ini.

“Apa yang kerajaan umumkan kita memang tertunggu-tunggu. Saya mahu berniaga balik tetapi pengumuman itu agak mengejut, banyak perkara saya belum sediakan.

“Tahun ini hanya akan ada 20,000 (unit) pakaian untuk ketiga-tiga cawangan kedai, berbeza tahun lepas ada 30,000 hingga 40,000.

“Kita perlu tambahkan staf, iklan pun belum buat, jadi agak kelam kabut buka kedai esok,” katanya yang melabur RM500,000 untuk tiga cawangan di utara semenanjung.

Beliau juga tidak mensasarkan keuntungan tinggi untuk musim perayaan tahun ini.

“Hasil perniagaan ketiga-tiga cawangan boleh capai RM1 juta lebih dan boleh guna duit itu untuk beberapa bulan selepas Syawal.

“Tapi nampaknya tahun ini, selepas Syawal kita kena kerja lebih keras,” tambahnya.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata kelonggaran untuk kegiatan perniagaan itu beroperasi tidak bermakna Perintah Kawalan Pergerakan berakhir.

Rakyat masih perlu berdisiplin dan bertanggungjawab untuk mengekang Covid-19 dengan mengamalkan jarak sosial, menjaga kebersihan dan kekal di rumah sekiranya tiada urusan penting.

Beliau memberi amaran, Covid-19 akan berada dalam komuniti untuk tempoh yang lama selagi belum ada vaksin untuk imuninasi seluruh rakyat.

Sekiranya muncul jangkitan mendadak, premis atau kawasan terlibat akan ditutup dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan boleh dikuatkuasa.

Penularan kes tempatan masih tinggi dengan jumlah 70 kes baharu semalam selain 52 kes positif dari kalangan pengembara yang dikuarantin selepas kembali dari luar negara. – 4 Mei, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen