Operasi periksa warga asing di Selangor Mansion


Alfian Z.M. Tahir Ravin Palanisamy

Selangor Mansion ialah salah satu bangunan di kawasan Masjid India yang dikenakan PKPD dan kebanyakan penduduknya warga asing. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 Mei, 2020.

PIHAK berkuasa pagi ini melakukan serbuan di bangunan Selangor Mansion, dalam satu lagi operasi untuk membanteras pendatang asing tanpa izin.

Sumber penguatkuasa berkata kira-kira 20 individu ditahan dalam operasi yang bermula 10 pagi tadi.

Mereka juga melaksanakan langkah penjarakan sosial dan prosedur kesihatan ketika melakukan pemeriksaan terhadap warga asing terbabit.

“Mereka pergi dari pintu ke pintu dan periksa semua orang yang tinggal di bangunan itu. Mereka yang tidak ada dokumen diarahkan berkumpul satu tempat.

“Kemudian ada yang diarahkan berkumpul di depan Maybank di Jalan Masjid India dan selepas pemeriksaan, mereka dibenarkan kembali ke rumah masing-masing oleh pihak berkuasa,” kata seorang rakyat tempatan yang tinggal di bangunan itu kepada The Malaysian Insight.

Difahamkan operasi itu tamat pada 12 tengah hari.

Media di lokasi dilarang merakam operasi berkenaan dan tidak dibenarkan menemui pihak berkuasa yang menjalankan operasi.

Bagaimanapun, beberapa klip video dirakam oleh penduduk lain sedang tular di media sosial. Ia menunjukkan sebahagian warga asing yang diperiksa oleh pihak berkuasa diarahkan duduk di tepi jalan, dengan memastikan penjarakan sosial dilaksanakan.

The Malaysian Insight sedang cuba menghubungi pihak berkuasa berkenaan serbuan itu tetapi belum mendapat jawapan.

Selangor Mansion ialah salah satu bangunan di kawasan Masjid India yang dikenakan PKPD dan kebanyakan penduduknya warga asing.

Jumaat lalu, lebih 500 warga asing tidak ada dokumen ditahan di bangunan kediaman Menara City One dan kawasan Masjid India, mencetuskan kemarahan peguam dan kumpulan hak asasi manusia, di mana mereka mendakwa kerajaan tidak menepati janji untuk tidak mengenakan tindakan undang-undang sepanjang tempoh PKP, supaya warga asing tampil menjalani ujian saringan Covid-19. – 3 Mei, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen