.jpg)
SETIAP tahun pada 3 Mei, Gerakan Media Merdeka (Geramm) memperingati Hari Kebebasan Akhbar Dunia.
Berbeza dengan tahun-tahun sebelumnya, peringatan tahun ini tidak diserikan oleh apa-apa majlis sambutan secara langsung, melainkan hanya sebatas perbincangan atas talian, selaras dengan usaha memerangi wabak Covid-19.
Namun begitu, semangat solidariti dalam kalangan #kawangeramm diharap tidak akan pudar.
Tahun 2020 membawa cabaran baharu bukan sahaja bagi pemilik serta pengamal media Malaysia, tetapi juga di seluruh dunia. Ramai yang menjadi mangsa pengecilan operasi syarikat media, dan bagi yang kekal bertugas, mungkin berdepan pemotongan gaji serta elaun.
Setahun yang lalu merekodkan banyak kejayaan penting bagi kebebasan akhbar tempatan, dan ini dibuktikan apabila Malaysia sekali lagi naik 22 tangga di kedudukan 101 dari 180 negara dalam laporan tahunan badan pemantau antarabangsa Wartawan Tanpa Sempadan (RSF).
Antara lain, kerjasama Geramm bersama Kesatuan Wartawan Kebangsaan Malaysia (NUJ), Institute of Journalists (IOJ) Malaysia, Sabah Journalists Association (SJA), Federation of Sarawak Journalists Association (FSJA), Kuching Division Journalists Association (KDJA), dan Foreign Correspondents Club of Malaysia (FCCM) telah membawa kepada penubuhan jawatankuasa protem Majlis Media Malaysia bagi merangka Rang Undang-Undang Majlis Media Malaysia.
Geramm kekal dengan pendirian bahawa usaha ini harus diteruskan oleh kerajaan Perikatan Nasional, dengan sokongan semua pihak yang terlibat selama ini.
Menyedari hakikat bahawa seluruh rakyat Malaysia dan dunia harus sedia berdepan dengan ‘the new normal’ (kebiasaan-kebiasaan baharu) pasca pandemik Covid-19, Geramm berpandangan terdapat beberapa ‘warisan’ dari era pemerintahan Barisan Nasional yang tidak harus diterima semula.
Pertama, sekatan ke atas mana-mana media untuk menghadiri apa-apa sidang media di Jabatan Perdana Menteri, walaupun dengan alasan bagi memastikan ‘penjarakan sosial’ dijaga.
Langkah-langkah pencegahan Covid-19 yang telah dan akan diambil tidak seharusnya mengorbankan peranan media sebagai ejen semak dan imbang terhadap kerajaan.
Selain dari sekatan kehadiran, kekangan turut melibatkan pihak berkuasa, dengan sekurang-kurangnya satu kes minggu ini di mana seorang wartawan South China Morning Post telah diminta hadir ke Bukit Aman bagi merakamkan kenyataan berkaitan laporan akhbar Hong Kong tersebut tentang isu Pendatang Asing Tanpa Izin di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan di Masjid India, Kuala Lumpur.
Kedua, ancaman atau serangan keatas mana-mana organisasi media atau pengamal media. Sejak beberapa bulan kebelakangan ini, didapati terdapat peningkatan kes ‘doxxing’ atau tindakan individu tidak bertanggungjawab yang mendedahkan maklumat peribadi individu lain di media sosial (sebagai contoh wartawan), bagi tujuan menghasut agar tindakan diambil ke atas wartawan tersebut.
Difahamkan terdapat juga kumpulan WhatsApp khusus yang ditubuhkan bagi memantau laporan-laporan media oleh agensi tertentu yang dituduh dengan pelbagai dakwaan tidak berasas.
Dengan kebiasaan baharu untuk menyiarkan sidang media secara langsung di laman Facebook, pengamal media turut terdedah kepada serangan secara langsung atau tidak langsung dari netizen, yang adakalanya menyentuh isu peribadi seperti kaum, penampilan fizikal dan warna kulit.
Walaupun harus berdepan dengan banyak ketidak-tentuan—akibat edaran cetak yang menurun dan pendapatan iklan tidak begitu memberangsangkan—tugas dan tanggungjawab utama media tetap sama dalam memastikan maklumat tepat, telus dan berimbang sampai ke tangan pembaca dan pelanggan.
Kepada semua #kawangeramm, kita harus bersedia untuk berhadapan pelbagai kemungkinan. Jangan sesekali ditundukkan oleh keadaan untuk meleburkan keutuhan kerja kewartawanan.
Semua pengamal media dituntut agar sentiasa berpegang teguh kepada prinsip etika kewartawanan, tidak kira sama ada ketika bertugas di lapangan, di pejabat ataupun di rumah.
Di kesempatan ini, Geramm turut ingin mengumumkan bahawa laman web rasmi kami boleh dilayari di https://mediageramm.com, selain dari Facebook dan Instagram @mediageramm
Akhir kata, kami berterima kasih kepada semua pihak yang selama ini membantu usaha ke arah pembebasan media tempatan dan menyokong usaha yang sama di rantau ini.
Salam solidariti. Selamat meraikan hari kebebasan media! – 3 Mei, 2020.
* Gerakan Media Merdeka.
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen