Siasat Annuar Musa kes terawih jemaah, kata PKR


Annuar Musa menunaikan tarawih bersama kakitangan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di pejabat beliau. – Gambar ihsan Facebook Tan Sri Annuar Musa, 2 Mei 2020.

PEMUDA PKR menggesa siasatan dijalankan terhadap Menteri Wilayah Persekutuan Annuar Musa yang didapati menunaikan solat terawih berjemaah.

Ketua pergerakan itu Akmal Nasir berkata siasatan itu perlu untuk membuktikan undang-undang adil terhadap semua lapisan masyarakat tanpa mengira status sosial.

“Sekiranya mahu berlaku adil, menteri tersebut wajar ditahan untuk disoal siasat,” katanya dalam kenyataan.

Ahli parlimen Johor Bahru itu berkata, ini memandangkan terdapat kes rakyat biasa ditangkap kerana menunaikan solat berjemaah.

Siasatan boleh dijalankan mengikut Peraturan 6 (1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020, katanya.

Beliau berkata demikian dengan merujuk kepada gambar disiarkan Annuar di Facebook menunjukkan menteri itu menunaikan solat sunat itu secara berjemaah bersama kakitangan di pejabatnya.

Menurut Akmal, gambar solat jemaah dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mencetuskan kegelisahan dan memberi imej negatif kepada rakyat.

Ia menunjukkan seakan-akan wujudnya perbezaan antara kelas sosial dalam penguatkuasa undang-undang.

“Apakah perkongsian menteri berkenaan untuk menunjuk-nunjuk kealiman beliau lebih hebat daripada rakyat biasa, malah mampu mengalahkan pemimpin PAS?

“Atau adakah menteri hendak buktikan kedudukan beliau lebih tinggi daripada rakyat Malaysia sekali gus mengesahkan undang-undang dua darjat di bawah Perikatan Nasional (PN),” kata Akmal lagi.

Jelasnya sepanjang tempoh PKP, aktiviti keagamaan di rumah-rumah ibadat adalah dilarang sama sekali, walaupun PKP Bersyarat (PKPB) yang bermula 4 Mei depan.

“Sekiranya menteri tidak lagi patuh PKP dan tiada tindakan, displin rakyat bawah PKPB mungkin akan berkurangan.

“Adakah Annuar ingin memberi contoh teladan terawih selepas ini boleh dilaksanakan secara berjemaah dengan rakan taulan di pejabat masing-masing bermula Isnin ini?” kata Akmal.

Beliau juga membangkitkan mengenai kes melibatkan anak Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi yang turut disiasat kerana didakwa melanggar PKP.

Tiada pendakwaan dijalankan ke atas anak perempuan Zahid itu dan menantunya, yang didapati mengunjungi beberapa menteri sewaktu PKP.

“Jangan pula salahkan rakyat membuat kesimpulan sedemikan kerana sehingga kini siasatan terhadap anak Presiden Umno yang melanggar PKP masih belum selesai walaupun sudah lebih seminggu.”

Annuar berkongsi lima keping gambar semalam di laman sosial Facebook rasminya menunjukkam beliau sedang bersolat bersama beberapa makmum.

Antara kenyataan yang turut dimuat naik bersama gambar-gambar terbabit adalah beliau bersolat bersama kakitangannya, dalam keadaan penjarakan sosial tiga orang bagi setiap saf.

“Solat terawih dalam pejabat malam ini bersama kakitangan, dengan saf secara penjarakan (sosial), tiga orang satu saf,” kata Annuar dakam kenyataan berkenaan. – 2 Mei 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Nak buat ibadat pun nak menunjuk ka?

    Dimuat naik 3 tahun yang lalu oleh S Shaf · Ulasan