2 lelaki pecah rumah, curi tayar kenderaan ditahan 


POLIS menahan dua lelaki yang dipercayai terlibat dengan kes pecah rumah dan curi tayar kereta selepas menyerbu sebuah rumah di Jalan Kota Aur, di Kepala Batas Rabu lepas.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) ACP Noorzainy Mohd Noor bekata serbuan pada pukul 7.00 malam oleh pasukan Jenayah Berat (D9) Ibu Pejabat Polis Daerah SPU itu dibuat susulan laporan polis berhubung kejadian pecah rumah melibatkan dua inap desa dan curi tayar kenderaan di Taman Penaga, di Kepala Batas, Selasa.

Beliau berkata hasil risikan pasukan khas yang ditubuhkan bagi menyiasat kes berkenaan, polis menahan dua lelaki berumur 23 serta 27 tahun itu, dan merampas pelbagai barang dipercayai hasil kegiatan curi seperti beberapa televisyen, kipas dinding, ‘sport rim’ dan tayar kereta serta peralatan membuka tayar.

“Semua barangan itu bernilai sekitar RM15,000, dipercayai hasil kegiatan pecah rumah sehari sebelum mereka ditahan dan siasatan mendapati mereka sedang menunggu pembeli datang ke rumah untuk membeli barangan itu,” katanya pada sidang akhbar di Kepala Batas hari ini.

Menurutnya kedua-dua lelaki itu juga mengaku barang-barang yang dicuri dari inap desa itu cuba dijual dengan segera, namun disebabkan banyak sekatan jalan raya susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), mereka tidak sempat untuk menghantar kepada pembeli, dan sebaliknya hanya menunggu pelanggan datang ke rumah.

“… kejadian jenayah di Taman Penaga itu turut tular di media sosial, menimbulkan kebimbangan penduduk di situ sebab itu kami bertindak pantas dengan menubahkan pasukan khas untuk buru suspek,” katanya dan menambah kedua-dua penganggur yang positf dadah itu didapati mempunyai rekod lampau berkaitan kesalahan jenayah serta dadah.

Noorzainy berkata mereka kini direman sehingga 4 Mei bagi membantu siasatan dan kes sedang disiasat mengikut Seksyen 457 dan Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana pecah masuk rumah dan curi kenderaan. – Bernama, 1 Mei, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen