Hampir semua sektor boleh beroperasi bermula Isnin, kata PM


Kerajaan bersetuju membuka hampir semua sektor ekonomi dan perniagaan dengan mengenakan syarat kesihatan yang ketat mulai 4 Me. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Mei, 2020.

HAMPIR semua sektor ekonomi ekonomi dan aktiviti perniagaan akan dibenarkan beroperasi bermula Isnin tertakluk kepada garis panduan dan syarat ditetapkan, kata Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Ia bagi membolehkan rakyat kembali bekerja dan menjamin pendapatan negara kerana negara rugi RM2.4 bilion setiap hari sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasa pada 18 Mac, katanya.

“Ini penting kerana kalau terlalu lama PKP maka terputus mata pencarian dan beri kesan buruk kepada kedudukan kewangan masing-masing.

“Jumlah kerugian setakat ini dianggarkan sekitar RM63 bilion. Jika PKP berterusan untuk
tempoh sebulan lagi, negara kita akan kerugian RM35 bilion menjadikan jumlah keseluruhan kerugian RM98 bilion,” katanya.

Tambahnya pembukaan semula ekonomi itu akan dilaksana melalui Perintah Kawalan
Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Dengan itu, sebahagian besar aktiviti ekonomi dan sosial akan dibenarkan, kecuali aktiviti melibatkan perhimpunan ramai dan mendedahkan orang awam kepada risiko jangkitan Covid-19, katanya.

Perintah Kawalan Pergerakan Dipertingkatkan (PKPD) pula diteruskan di
kawasan dengan jangkitan Covid-19 tinggi.

Katanya, keputusan membuka semula sektor tersebut secara terkawal berhati-hati dengan menguatkuasakan garis panduan kesihatan yang ketat atas nasihat Kementerian Kesihatan.

Keputusan itu dibuat berpandukan data dan amalan ditetapkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), katanya.

Menurutnya lagi, senarai lengkap perniagaan atau aktiviti yang tidak dibenarkan boleh dirujuk di laman web Majlis Keselamatan Negara yang akan disemak dari masa ke masa.

Tambahnnya, perniagaan melibatkan perhimpunan dan sentuhan badan pelanggan masih dilarang.

“Ini termasuk panggung wayang, pusat refleksologi, bazar Ramadan dan semua bentuk persidangan dan pameran,” kata Muhyiddin dalam pengumuman secara langsung.

Selain itu, kegiatan sosial dan aktiviti sukan dibenarkan yang tidak melibatkan sentuhan antara satu sama lain dan perhimpunan besar termasuk joging, berbasikal dan golf.

Rakyat juga dibenar berlari dalam kumpulan kecil tidak lebih 10 orang dengan syarat mengamal penjarakan sosial dan elak sentuhan badan, katanya.

Aktiviti sukan melibatkan perhimpunan ramai, sentuhan badan dan lain-lain risiko jangkitan yang tidak dibenarkan termasuk sukan bola sepak, ragbi, renang dan semua acara sukan indoor dan stadium.

Semua perhimpunan termasuk sembahyang jemaah, perarakan keagamaan dan majlis kenduri kendara masih tidak dibenarkan.

Perjalanan untuk balik kampung bagi menyambut hari raya juga dilarang.

Beliau mengumumkan, SOP bagi  membolehkan semua sektor perniagaan dan industri, sektor awam dan sektor sosial adalah dibenarkan itu termasuk:
- Penjarakan sosial
- Kerap mencuci tangan
- Memakai topeng muka
- Melaporkan segera kepada Jabatan Kesihatan jika terdapat maklumat mengenai jangkitan Covid-19
- Keutamaan melindungi kumpulan berisiko seperti kanak-kanak, bayi, warga emas dan OKU
- Individu tidak sihat dan bergejala dikehendaki segera menjalani pemeriksaan kesihatan
- Bilangan penumpang dalam kenderaan awam perlu mengambil kira penjarakan sosial dan menggalakkan transaksi secara online.

. – 1 Mei, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen