Industri hotel Pulau Pinang jangka rugi RM8 bilion, kata persatuan


Zaim Ibrahim

Industri pelancongan dan perhotelan Pulau Pinang terjejas teruk kesan penularan Covid-19 dengan sekatan pencegahan serta pengawalan penyakit berjangkit yang berpanjangan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 Mei, 2020.

PENGUSAHA hotel di Pulau Pinang berdepan kerugian sehingga RM8 bilion akibat pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) bagi mengekang penularan wabak Covid-19, kata Persatuan Hotel Malaysia (MAH) cawangan negeri.

Bantuan kerajaan kepada peniaga dan usahawan untuk mengekalkan pekerja tidak memadai, kata pengerusinya Khoo Boo Lim, menyebabkan sebahagian hotel memotong gaji kakitangan atau membenarkan mereka bercuti tanpa gaji.

“Tahun 2019 kita tidak rugi. Perniagaan sangat baik. Tetapi tahun ini kita jangka hotel-hotel di Pulau Pinang rugi antara RM6 hingga RM8 bilion, berbanding apa yang kita perolehi pada 2019,” kata Khoo kepada The Malaysian Insight.

Khoo bagaimanapun tidak memberikan angka tepat jumlah pekerja dalam industri hotel di Pulau Pinang yang terjejas akibat PKP.

Sekurang-kurangnya lima hotel di Pulau Pinang sudah diumumkan tutup akibat kesan ekonomi daripada penularan Covid-19 dan sekatan pencegahan dan pengawalan penyakit berjangkit yang berpanjangan.

Exco pelancongan negeri Yeoh Soon Hin bagaimanapun menafikan maklumat yang tersebar kononnya 35 buah hotel di Pulau Pinang tutup operasi sementara atau gulung tikar.

“Saya telah menghubungi Khoo mengenai perkara tersebut, dan beliau berkata senarai itu tidak dapat disahkan dan tidak mempunyai sumber serta tidak boleh dipercayai,” katanya.

Satu kajian rambang MAH Malaysia mendedahkan 20% pekerja hotel dipotong gaji, 26% diberi cuti tanpa gaji dan 6% pekerja hotel seluruh Malaysia akan diberhentikan, tambahnya.

Kajian MAH juga mendapati 15% daripada pengusaha hotel akan gulung tikar akibat kesan rentetan penularan Covid-19.

Awal bulan ini, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan subsidi bantuan upah antara RM600 hingga RM1,200 kepada majikan untuk pekerja tempatan yang bergaji RM4,000 dan ke bawah, dengan syarat mereka tidak dibuang kerja untuk enam bulan.

Ketua Pegawai Eksekutif MAH, Yap Lip Seng juga berkata sebahagian besar pekerja dalam sektor perhotelan tidak layak untuk menyertai program pengekalan pekerjaan di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), yang diumumkan oleh kerajaan.

Khoo menjelaskan bantuan kerajaan kepada industri perhotelan terlalu sedikit sedangkan ia paling teruk terjejas akibat PKP.

“Minimum kita boleh dapat RM600 dan tiga bulan sahaja untuk kekalkan semua pekerja (selepas PKP). Saya tidak pasti berapa banyak hotel yang mengambil bantuan itu kerana ia adalah rahsia pengurusan syarikat.

“Tempoh tiga bulan sangat tidak mencukupi untuk hotel lebih-lebih lagi industri pelancongan merupakan industri terakhir yang akan pulih,” jelas beliau.

Kerajaan negeri disaran memperkenalkan beberapa insentif untuk menggalakkan pelancong tempatan datang ke Pulau Pinang selepas PKP tamat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Mei, 2020.

Ditanya mengenai hotel yang dijadikan pusat kuarantin, Khoo berkata ia tidak praktikal bagi Pulau Pinang.

“Semua penerbangan antarabangsa di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang dibatalkan, dan kebanyakan dari luar negara terus ke Kuala Lumpur. Jadi di sana sudah ada pusat kuarantin sebelum ke rumah masing-masing,” jelasnya.

Insentif galakan pelancongan

Dalam pada itu, Khoo mencadangkan kepada kerajaan negeri supaya memperkenalkan beberapa insentif untuk menggalakkan pelancong tempatan datang ke Pulau Pinang selepas PKP tamat.

Antara insentif itu termasuk tol percuma di kedua-dua jambatan untuk waktu tertentu, tiket percuma untuk beberapa tempatan pelancongan serta baucer diskaun untuk penginapan dan makan minum.

Yeoh dalam reaksi awal berkata pihak kerajaan negeri akan meneliti terlebih dahulu maklumat yang tepat mengenai kesan Covid-19 dan PKP kepada industri pelancongan negeri.

“Saya akan melibatkan pelbagai sektor yang relevan dengan industri untuk mendapatkan gambaran dan pemahaman yang lebih baik mengenai sejauh mana kesannya dan usaha untuk mengurangkan kesannya kepada industri,” katanya.

Untuk itu, beliau mahu menubuhkan sebuah pasukan khas untuk membuat kajian dan melapor langsung kepada Ketua Menteri Chow Kon Yeow.

Setakat semalam, Pulau Pinang mempunyai baki 2 kes positif Covid-19 yang masih aktif daripada keseluruhan 121 kes di negeri itu. Seorang pesakit meninggal dunia.

Semua daerah di negeri itu kini di bawah zon hijau kecuali Mukim 16 di Seberang Prai Utara.

Semalam juga, keseluruhan 4,171 kes di seluruh Malaysia telah sembuh iaitu 69.5% daripada keseluruhan 6,002 yang dijangkiti. Mereka yang meninggal dunia ialah 1o2 atau 1.7% daripada keseluruhan kes. – 2 Mei, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen