Facebook akan beritahu pengguna yang ‘termakan’ propaganda Rusia


FACEBOOK akan membantu pengguna jika mereka “like” atau mengikuti posting yang dianggap sebagai usaha campur tangan Rusia dalam pilihan raya Amerika Syarikat (AS) tahun lepas.

Sebuah alat perisian akan dilancarkan pada hujung tahun ini bagi membolehkan pengguna melihat sama ada mereka terlibat dengan laman Facebook atau Instagram yang dikaitkan dengan Internet Research Agency antara Januari 2015 sehingga Ogos sebelum pilihan raya presiden.

Agensi itu dilihat sebagai sumber Rusia untuk menyebarkan dakyah propaganda dalam talian.

“Penting buat rakyat untuk faham bagaimana pihak asing cuba memecahbelahkan dengan menggunakan Facebook, sebelum dan selepas pilihan raya AS 2016,” kata laman media sosial itu melalui catitan blog.

Penciptaan alat perisian itu berikutan tekanan dari pihak Kongres terhadap Facebook dan pelbagai gergasi internet lain yang mahukan pengguna tahu jika mereka terdedah dengan ancaman propaganda Rusia menjelang pilihan raya.

Awal bulan ini, Google, Facebook dan pelbagai lagi syarikat teknologi telah menyertai rangkaian organisasi berita antarabangsa dalam usaha untuk mengenalpasti sumber berita “boleh dipercayai” bagi memerangi maklumat palsu.

Selain itu Microsoft dan Twitter juga setuju untuk menyertai dalam “Trust Project” dengan 75 organisasi berita untuk “tag” berita yang standard, beretika dan telus.

Google, Facebook, dan Twitter telah dihentam teruk kerana membenarkan penyebaran berita palsu ketika pilihan raya AS 2016 berlangsung.

Sebahagian dari berita palsu itu dipercayai dikawal pihak Rusia.

Awal bulan ini, ketua pengarah Facebook Mark Zuckerberg mengakui kritikan terhadap maklumat palsu dan manipulasi yang berlaku dalam pilihan raya AS, beberapa jam selepas syarikat itu dihentam oleh pihak Kongres di Washington.

“Komuniti kami membesar dan perniagaan kami baik,” kata Zuckerberg.

“Tetapi itu semua tidak penting selagi khidmat kami dipergunakan untuk memecahbelahkan rakyat. Lebih penting untuk mempertahankan komuniti kami berbanding mengaut keuntungan besar.”

Facebook memberitahu Kongres masalah politik itu termasuklah dengan penggunaan aplikasi perkongsian gambar Instagram.

Peguam Facebook Colin Stretch memberitahu Kongres, tahun lalu posting di Instagram oleh akaun suspek milik Rusia telah dilihat lebih 20 juta rakyat Amerika.

Data Instagram itu antara tertinggi memandangkan 126 juta rakyat Amerika terdedah kepada post Facebook oleh entiti Rusia yang sedang mencari dan mencipta perpecahan ketika kempen pilihan raya.

“Saya sudah luahkan bagaimana sedihnya saya mengenai usaha Rusia mempergunakan khidmat kami untuk memanam salah faham,” kata Zuckerberg.

“Apa yang mereka lalukan itu salah dan kami tak akan pertahankan tindakan seperti itu.” – AFP, 23 November, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen