BEKAS menteri pendidikan tinggi dan naib presiden Umno, Mahdzir Khalid disebut-sebut sebagai pengerusi baharu Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB).
Ahli Parlimen Pasir Salak, Tajuddin Rahman pula bakal mempengerusikan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) lain, Prasarana Malaysia Bhd, lapor pengendali perkhidmatan pengangkutan awam terbesar di negara ini, FocusM (Focus Malaysia).
Portal itu memetik sumber berkata, kedua-duanya sudah menerima tawaran itu dan pengumuman akan dibuat tidak lama lagi.
Mahdzir, yang dicemari tuduhan sogokan skandal projek hibrid solar Sarawak bernilai RM1.25 bilion bagi sekolah luar bandar yang melibatkan Rosmah Mansor, isteri bekas perdana menteri Najib Razak, akan menggantikan hakim Mahkamah Persekutuan yang bersara, Zainun Ali sekiranya dilantik.
Ahli Parlimen Padang Terap itu bagaimanapun, menafikan pertuduhan itu ketika memberi kesaksian pada 11 Februari dalam perbicaraan yang masih berlangsung.
Zainun dilantik oleh kerajaan Pakatan Harapan bagi jawatan itu pada 17 Januari tahun lalu.
Portal itu berkata Mahdzir diberi jawatan MAHB selepas menolak tawaran serupa di Telekom Malaysia Bhd.
Sementara itu, Tajuddin akan menggantikan seorang hakim wanita yang sudah bersara, bekas ketua hakim Malaya Zaharah Ibrahim di Prasarana yang dilantik pada 20 November tahun lalu.
Tajuddin adalah ahli Parlimen kontroversi dengan tindakannya di Parlimen yang menyebabkan beliau beberapa kali digantung.
Pada Disember tahun lalu, beliau dituduh bersikap perkauman ketika bertanya kepada Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer, apakah abu agama di dahinya milik bekas pemimpin Parti Komunis Malaya yang sudah lama mati, Chin Peng.
Beliau digantung berhubung kenyataan tersebut. – 30 April, 2020.
Komen