Pakatan harus merendah diri


TIADA peristiwa atau tragedi yang berlaku berpunca dari satu faktor sahaja. Setiap perubahan yang berlaku mempunyai rantaian kejadian atau masalah-masalah kecil yang saling berkait, hingga semua ini menjadi naratif yang mendorong kepada sesuatu perubahan keadaan yang pada mulanya terkawal kepada bencana, atau sebaliknya. 

Begitu juga dalam politik. Tiada mana-mana parti politik dapat mendakwa mereka menang kerana kekuatan jentera mereka sahaja atau tewas disebabkan hanya dengan serangan propaganda ‘tipu muslihat’ pihak lawan politik.

Lebih mustahil mengatakan kerajaan Pakatan Harapan (PH) runtuh kerana serangan suara-suara ekstrem dari lawan politik mereka. 

Bagi penyokong yang wala’ versi bahlul, hujah ini mungkin boleh dijual laris. Namun, bagi mereka yang berfikir, dakwaan ini sangat mengelirukan dan begitu angkuh bunyinya. 

Pertama, hujah sebegini adalah sama dengan hujah mantan perdana menteri Najib Razak yang menyalahkan ‘Cina’ selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) atas kegagalan Barisan Nasional (BN) mendapat majoriti dua pertiga di Parlimen. 

Najib juga menyalahkan Pakatan Rakyat pada ketika itu dengan mendakwa pembangkang menggunakan taktik kempen pembohongan dan fitnah. 

Selepas episod inilah Najib memperkenalkan undang-undang antiberita tidak benar sebagai alat melindungi masalah beliau.

Kedua, dalam konteks PH, adalah satu sikap yang bodoh apabila kita mengharapkan lawan politik kita Umno dan BN, tidak menggunakan segala senjata licik mereka untuk menyerang.

Kemenangan PH pada PRU14 adalah manifestasi beberapa faktor hingga mendorong undi yang menyokong Umno dan BN, bertukar menjadi undi protes terhadap parti itu. Faktor skandal 1MDB, Dr Mahathir Mohamad dan lain-lain menjadi naratif dan faktor kepada perubahan itu. 

Undi protes ini bergabung dengan undi penyokong parti pembangkang yang setia. Kita tidak patut lupa, undi protes ini bukanlah undi simpanan tetap (fixed deposit). Ia boleh berubah selepas ini jika naratif baharu itu wujud. 

Terbaliknya kerajaan PH tak sampai sepenggal juga disebabkan wujudnya naratif atau faktor tarikan dan penolakan. Sama ada kita sedar atau tidak, itu masalah kesedaran politik masing-masing. Meminjam lirik lagu seniman M Nasir, “nak lihat dari mata burung atau dari dalam tempurung”, terpulang.

Faktor tarikan biasanya muncul dari dalam parti dan faktor penolakan datang dari luar parti, sama ada dari musuh politik, kakitangan kerajaan atau pengundi itu sendiri. 

Menjual slogan pengkhianat atas sosok seperti Muhyiddin Yassin itu kerja mudah untuk menutup kelemahan politik sendiri. Sikap politik ini sama saja dengan dengan pemimpin Umno yang melabel pemimpin DAP dengan pelbagai gelaran. Nampak seperti tiada beza antara pihak yang mendakwa ia baik dengan pihak yang dituduh buruk. 

Mengurus suara-suara ekstrem oleh mana-mana parti harus jadi keutamaan. DAP sendiri perlu bijak dan tegas mengurus suara ekstrem dari dalam partinya sendiri atau jika mahu disamakan seperti Umno. 

Atau DAP memerlukan 50 tahun lagi untuk menjadi parti yang benar-benar mengamalkan prinsip politik ‘jalan tengah’?

Hujah yang berterusan menyalahkan pihak lawan oleh beberapa pemimpin PH ini juga menggambarkan kesombongan mereka. Hakikatnya, tiada salahnya jika kita merendah diri dan berani mengakui kelemahan kita didepan ahli, penyokong dan rakyat.

Hidup ini punya naratif yang lebih luas dari retorik dan pandangan politik kita yang sempit. – 30 April, 2020.

* Mahdzir Ibrahim, AJK DAP Johor.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen