.jpg)
PANDEMIK Covid-19 masih belum berakhir dan seluruh negara resah gelisah kerana ia bukan sahaja menyerang tubuh warga tetapi boleh melumpuhkan tubuh ekonomi rakyat dan negara. Adakah ia suatu pengakhirannya?
Adakah dengan pengakhiran PKP pandemik lain pula akan timbul ke atas tubuh ekonomi rakyat iaitu pandemik penyakit mental.
Ia berikutan kehilangan pendapatan dan kerugian yang terpaksa ditanggung berikutan PKP.
Ada benarnya juga pandangan seorang perunding psikaitri Dr Aida Syarinaz Ahmad Adlan bahawa ia adalah kesan daripada kegelisahan, kegusaran dan tekanan berikutan tekanan ekonomi dan keterbatasan pergerakan.
Namun katanya disebabkan stigma tersebut, manusia mungkin tidak bersikap jujur kepada mental dan keadaan emosi mereka tidak seperti bentuk pandemik penyakit.
Tambahnya lagi krisis kewangan dan masalah kesihatan mental biasa bergerak selari.
Bayangkanlah hanya dengan deria sentuhan, Covid-19 menjangkiti manusia sehingga memerlukan perjarakan fizikal dalam jarak 1 meter.
Tubuh warga harus didisiplinkan untuk berada di rumah melalui PKP.
Betapa bahayanya sentuhan ini kerana telah merengkatkan anggota tubuh yang meliputi dan merangkumi tubuh ekonomi, tubuh politik, tubuh sosial dan seumpamanya.
Deria yang kita rasa sekadar sentuhan di papan kekunci kini merupakan deria paling merbahaya kerana dengan sekali sentuh ia boleh membawa maut.
Kerajaan serata dunia (termasuk Malaysia) dalam usaha memutuskan rantaian Covid-19 terpaksa menguatkuasakan PKP yang membawa kepada pembatasan pergerakan manusia.
Dengan membataskan kegiatan tubuh ia telah membantutkan hubungan sosial, politik mahupun ekonomi dan kesihatan yang meninggalkan kesannya apakah sebatang tubuh itu pasif, aktif, lemah, berkuasa dan sebagainya.
Sehubungan dalam hubungan itu melalui renungan terhadap kesan atau impaknya ke atas tubuh, saya membahagikannya kepada empat tingkatan tubuh:
Pertama, ekonomi tubuh iaitu peranan tenaga fizikal atau kederat digunakan dalam berbagai kegiatan ekonomi.
Ia meliputi kegiatan luaran dan dalaman. Dalam hubungan ini bagaimana PKP dan ancaman Covid-19 telah membataskan pergerakan tubuh yang menemukan impak mendalam kepada ekonomi tubuh.
Persoalan tubuh yang berkaitan dengan pergerakan anggota (dan penderiaannya) dalam kegiatan ekonomi tersungkur teruk dan juga telah membantutkan hubungan sosial iaitu misalnya bekerja sendiri, kehilangan pelanggan dan hubungan antara pekerja dan majikan.
Sentuhan dan tubuh telah melengangkan negara meninggalkannya dalam keadaan terpinga-pinga dan kegemparan di mana peranan tubuh tidak lagi dapat berfungsi dalam pertumbuhan ekonomi dan pencarian pendapatan rakyat dan negara.
Covid-19 telah memperlihatkan pentingnya tubuh sebagai objek dan subjek dalam kerangka ekonomi di mana ancaman sentuhan telah membataskan peranan tubuh tersebut.
Kedua, tanda bagaimana tubuh telah dieksploitasikan dalam sistem ekonomi sebagai komoditi atau alat yang dapat memanfaatkan pertumbuhan dalam sistem kapitalisme. Ia membuka mata rakyat bagaimana golongan elit yang mengaut kekayaaan dengan mengeksplotasi kederat tubuh.
Ia menunjukkan sensitifnya ekonomi rakyat dalam pergantungan kepada tubuh.
Pendapatan mereka secara harian atau bulanan amat rapuh kerana sekali terkena sentuhan Covid-19 betapa jutaan pekerja dan keluarga boleh jatuh miskin dan bangkrup.
Kajian Jabatan Perangkaan mendapati 71.4 peratus rakyat yang bekerja sendiri mempunyai simpanan yang hanya mencukupi kurang daripada satu bulan susulan kesan daripada wabak koronavirus (Covid-19).
Ketua Perangkawan Malaysia, Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, 77.2 peratus majikan dan 82.7 peratus pekerja swasta pula mempunyai simpanan kewangan yang mencukupi sehingga dua bulan.
“Manakala 78.9 peratus pekerja syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan 75.2 peratus pekerja syarikat multinasional (MNC) mempunyai simpanan kewangan yang mencukupi sehingga empat bulan,” katanya menerusi Kajian Khas Kesan Covid-19 Kepada Ekonomi dan Individu (Pusingan 1) di dikeluarkan pada Rabu.
Kajian itu dilaksanakan oleh Jabatan Perangkaan secara dalam talian pada 18 hingga 31 Mac lalu dan ia mengandungi 21 soalan meliputi modul umum, modul pekerjaan dan modul perbelanjaan.
Ini memperlihatkan betapa sistem kapitalis ini telah menindas rakyat dengan hanya cukup makan sahaja.
Covid-19 mendedahkan betapa rapuh ekonomi tubuh dan senario ini telah membawa meningkatkan kegiatan ekonomi atas talian, mengurangkan peranan tubuh tetapi memerlukan kreativiti dan deria sentuhan yang tinggi.
Ketiga, bagaimana sistem ekonomi menjadi sebuah ruang berlangsungnya pembebasan hasrat apabila bergelut dengan kebiasaan baharu atau the new normal menggantikan kebiasaan lama.
Covid-19 telah merampas keselesaan tersebut dan mendedahkan pelepasan hasrat (desire) daripada berbagai kongkongan seperti kedegilan, pembelian panik, telah mewujudkan kluster bongkak, sombong, pentingkan diri, ego dan seumpamanya.
Covid-19 telah melumpuhkan ekonomi tubuh dan membawa kepada pematuhan tubuh dalam keadaan terpaksa.
Akan ramai yang mengalas tekanan psikologi akibat PKP nanti. Sistem kapitalis lebih memenuhi hasrat daripada rasional dan rakyat tidak biasa dengan situasi ini.
Pandemik ini telah mengujudkan rasa takut tubuh manusia daripada jangkitan makhluk halus dan jika masalah ini berpanjangan ia akan membinasakan ekonomi secara keseluruhannya.
Bimbang juga terbantutnya ekonomi tubuh akan membuatkan ramai pekerja hilang mata pencarian, dan ekonomi negara akan menyusut teruk.
Oleh itu dalam era pasca Covid-19, peranan tubuh akan semakin mengecil dan bergantung kepada deria sentuhan dalam kegiatan atas talian.
Keempat, Covid-19 telah memunculkan politik tubuh dalam pengawalan dan penguasaan ke atas tubuh rakyat secara tidak langsung yang akan membawa kepada kesempatan mengukuhkan kuasa melalui bio-politic dan bio-power.
Sejak Covid-19 mungkin ramai yang tidak menyedari bahawa tubuh dan eksistensi menjadi bahagian yang keduanya saling mengikat, yang kini diikat oleh deria sentuhan.
Dari segi politik tubuh, pengendalian negara atas tubuh justeru dianggap sebagai bentuk kehadiran kerajaan yang boleh menggunakannya sebagai senjata sokongan selepas Covid-19.
Saya tidak pasti sejauh manakah kerajaan Pakatan Nasional (PN) akan menggunakan politik tubuh bagi merangkaikan pemantapan kuasa atas tubuh tersebut.
Apa yang saya maksudkan dengan politik tubuh ialah kegiatan dan kebijaksaaan tertentu yang melaluinya kekuasaan tubuh masyarakat dapat dipengaruhi, dirasional, atur dan dikendalikan dalam penguasaan politik ke atas tubuh negara contohnya pengundian rakyat menyokong PN dalam pilihan raya akan datang.
Kadang-kadang dirasakan ada yang tidak berapa betul sedang berlaku dalam waktu PKP ini.
Terdapat rakan yang tidak dapat melihat anaknya dekat sebulan. Bahkan terdapat yang terpaksa duduk di rumah emak mertua lebih sebulan kerana PKP tidak membenarkan mereka balik ke rumah dan ada yang tidak sempat melihat cucu yang baru lahir.
Walaupun ramai yang mengaitkan penularan koronavirus dengan perang biologi antara AS dan China, di negara kita saya kaitkan politik tubuh dengan kemunculan biopolitics dan biopower.
Ia memberikan kesempatan untuk PN menggerakkan Biopolitics atau politik biologinya ketika virus Covid-19 yang berada dalam ranah politik mengemukakan suatu norma baharu yang menggantikan norma lama.
Biopower atau kuasa biologi ialah bentuk kekuasaan yang akan dinormalisasi dalam era pasca covid-19.
Jika biopolitics berusaha mengawal dan mengatur penduduk melalui konsep kesihatan seperti Covid-19 misalnya maka bentuk mekanisme biopower bergerak pada teknik atau kaedah menormalisasi rakyat yang tidak hanya pada tingkat sokongan perasaan terhutang budi. dalam tubuh politik PN dan dalam propagandanya nanti.
Mungkin pandemik Covid-19 ini boleh menyekatkan kebebasan media.
Kerajaan boleh menggunakan PKP ini untuk menyekatkan kebebasan media lain yang didakwa menyiarkan berita tidak sahih.
Walaupun penularan pandemik Covid-19 adalah tanggungjawab PN menguruskannya dan mengawalnya, tetapi harus diingati bahawa tubuh adalah realiti politik, dan ekonomi dan kesihatan adalah bentuk strategi politik.
* Ismail Hashim Yahaya merupakan pensyarah di Jabatan Komunikasi, Fakulti Komunikasi, Seni Visual dan Pengkomputeran, Universiti Selangor (Unisel)
Komen