Wanita B40 cari nafkah sepanjang PKP dengan menjahit


Raevathi Supramaniam

Komuniti Tukang Jahit mempunyai 15 orang tukang jahit wanita keluarga B40 yang mencari nafkah dengan kerja menjahit. – Gambar The Malaysian Insight, 30 April, 2020.

SEBUAH perusahaan sosial penjahitan menawarkan peluang wanita isi rumah B40 untuk menjana pendapatan sepanjang perintah kawalan pergerakan dikuatkuasakan.

Komuniti Tukang Jahit (KTJ), yang diasaskan bersama oleh Yap Sue Yii dua tahun lepas mempunyai 15 wanita daripada keluarga berpendapatan rendah yang merupakan tukang jahit dan memerlukan kerja di luar musim Hari Raya.

Sesebuah keluarga dianggap B40 sekiranya pendapatan isi rumah sebulan adalah RM3,855 dan ke bawah.

“Semua orang tahu ada mak cik di taman mereka yang akan jahit baju untuk Hari Raya dan semua orang tak heboh-heboh sebab mereka mahu baju Hari Raya siap sebelum orang ramai datang,” kata Yap kepada The Malaysian Insight menjelaskan bagaimana beliau mengumpul wanita yang menepati kriteria itu.

“Kami buat produk yang wanita B40 boleh jahit, iaitu hadiah korporat.

“Hadiah korporat selalunya banyak, jadi kami boleh bagi lebih banyak kerja kepada mereka,” kata pereka multimedia interaktif berusia 28 tahun itu yang juga CEO KTJ.

Sejak PKP dikuatkuasa kerana Covid-19, Yap menggerakkan pasukannya untuk menjahit topeng muka kerana hadiah korporat bukan keutamaan sekarang.

“Kami tahu hadiah korporat bukan keperluan ketika ini, jadi kami memutuskan buat barang yang orang perlu seperti topeng muka.

“Disebabkan wujud pertimbangan sama ada topeng itu selamat, kerana ada orang membandingkan topeng kami dengan topeng perubatan, kami jelaskan awal-awal yang kami buat ini untuk kebajikan,” kata Yap.

Yap Sue Yii (baris depan, dua dari kiri) bersama tukang jahit Komuniti Tukang Jahit. – Gambar KTJ, 30 April, 2020.

“Untuk orang miskin, gelandangan dan pelarian yang tidak ada apa-apa untuk lindungi muka mereka, topeng kapas dua lapis lebih baik berbanding tidak ada apa-apa.”

KTJ memutuskan bekerjasama dengan beberapa badan bukan kerajaan lain untuk memberikan peluang kepada wanita B40 untuk menjana pendapatan sepanjang PKP.

Ia menerima permohonan ratusan tukang jahit di Kuala Lumpur malah dari Malaysia Timur yang mahu terlibat dalam projek itu.

Sehingga kini, KTJ berjaya menghasilkan 100 keping topeng muka yang diedarkan secara percuma kepada kumpulan masyarakat terpinggir.

Mereka juga menjahit topeng muka dengan logo syarikat sebagai hadiah korporat yang dijual dengan harga RM8.50 sekeping.

YAP berkata, 15 tukang jahit KTJ berjaya mendapat RM200-RM300 seminggu hasil usaha ini.

Antara topeng muka yang dihasilkan oleh wanita KTJ. – Gambar The Malaysian Insight, 30 April, 2020.

KTJ dalam usaha menjana lebih banyak dana menerusi inisiatif jana khalayak oleh Alliance Bank dan Malaysian Global Innovation & Creativity Centre (MaGic) dengan matlamat mengumpul RM200,000.

“Jika kami berjaya capai sasaran, kami akan berjaya buat 2,000 topeng muka untuk diedarkan kepada penerima manfaat usaha kami,” kata Yap.

Buat masa sekarang disebabkan PKP sedang berjalan, KTJ bergantung kepada perkhidmatan penghantaran untuk menghantar barangan kepada tukang jahit mereka. Latihan jahit dalam talian juga diberikan. – 30 April, 2020.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen