KADAR pengangguran Malaysia kekal pada 3.3% pada 2019, menurut Statistik Tenaga Buruh Malaysia 2019 dikeluarkan Jabatan Perangkaan, hari ini.
Ketua Perangkaan Dr Mohd Uzir Mahidin berkata walaupun wabak Covid-19 tidak memberi kesan kepada kadar pengangguran pada 2019, ia dijangka akan memberi kesan kepada prestasi tenaga buruh tahun ini.
“Kadar pengangguran 2019 tidak dipengaruhi oleh impak negatif yang disebabkan oleh penularan wabak Covid-19. Pada Januari 2020, kadar pengangguran adalah 3.2% dan meningkat kepada 3.3% pada Februari 2020,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan sempena penerbitan kajian terbaru itu.
Tambahnya lagi, kesan perintah kawalan pergerakan yang dikuatkuasakan selepas Organisasi Kesihatan Dunia mengisytiharkan Covid-19 sebagai pandemik pada 11 Mac akan dapat dikesan pada petunjuk tenaga kerja untuk Mac 2020 dan keseluruhan 2020.
Sementara itu, pasaran tenaga kerja berkembang sebanyak 2% kepada 15.6 juta orang pada 2019 berbanding 15.3 juta orang pada 2018.
Jumlah pekerja berpendidikan tinggi meningkat sebanyak 0.8% kepada 29.4% pada 2019 berbanding 28.6% pada 2018, sementara pekerja berpendidikan sekolah rendah turun sebanyak 1.0%.
Kadar penyertaan tenaga buruh (KPTB) meningkat sebanyak 0.4% kepada 68.7% pada 2019 berbanding 68.3% pada 2018.
Ini bermakna 31.3% jumlah penduduk umur bekerja tidak berada dalam pasaran buruh.
Kajian juga mendedahkan secara keseluruhannya KPTB untuk pekerja lelaki lebih tinggi berbanding pekerja wanita untuk semua kumpulan umur, walaupun peningkatan peratusan pada 2019 sama, 0.4%.
KPTB wanita naik 0.4% kepada 55.6% pada 2016, manakala KPTB lelaki juga naik 0.4% kepada 80.8% pada 2019. – 29 April, 2020.
Komen