Kecam Myanmar, bukan Rohingya, kata Dr Mahathir


RAKYAT Malaysia sepatutnya mengecam Myanmar dan Aung San Suu Kyi, dan bukannya etnik Rohingya yang ditindas oleh mereka, kata bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.

Malaysia juga sepatutnya menghentikan hubungan dagang dengan Myanmar serta meminta badan dunia mengambil tindakan terhadap negara itu, katanya.

“Kita sepatutnya kecam Myanmar dan Aung San Suu Kyi kerana kezaliman mereka dan bertindak menolak dagangan dengan mereka. 

“Janganlah kita benci kepada orang Rohingya yang menjadi mangsa kezaliman,” katanya dalam satu kenyataan melalui blognya hari ini.

Menurut Dr Mahathir, badan dunia seperti Pertubuhan Bangsa Bersatu serta negara-negara Islam dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) perlu mengambil tindakan ke atas Myanmar, untuk menghentikan kezaliman yang dilakukan terhadap etnik Rohingya.

“Kita juga perlu dedahkan kezaliman Myanmar kepada dunia,” tambahnya.

Dr Mahathir mengulas perkembangan semasa ketika muncul sentimen kebencian terhadap etnik Rohingya terutamanya di media sosial sejak sekurang-kurangnya seminggu yang lalu.

“Saya sedar kenapa orang Melayu sekarang begitu benci kepada orang Rohingya,” katanya.

Mengambil contoh bagaimana sikap orang Melayu terhadap pelarian Vietnam pada suatu masa dulu, Dr Mahathir berkata rasa simpati terhadap orang Rohingya sebelum ini bertukar benci.

“Apabila jumlah menjadi begitu ramai dan ada perbuatan pelarian ini yang menyentuh perasaan orang Melayu, maka simpati bertukar jadi benci. 

“Sesungguhnya kita telah beri terlalu banyak suaka kepada pelarian. 

“Mereka sepatutnya pergi ke negara lain, dan negara lain juga perlu buka pintu mereka,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Mahathir berkata tindakan Malaysia mengusir bot pelarian Rohingya tanpa bekalan makanan dan minyak untuk ke negara lain adalah “tidak berperikemanusiaan.”

“Apa yang patut dilakukan ialah membekal mereka dengan makanan dan minyak supaya mereka dapat pergi ke negara lain atau balik ke Myanmar,” katanya.

Pada 16 April lalu, tentera laut dan udara Malaysia menyekat percubaan bot pelarian Rohingya daripada masuk ke Langkawi. Bot itu diberikan bekalan makanan “atas dasar kemanusiaan”, kata Tentera Laut Diraja Malaysia (TUDM) dan diiringi oleh kapal tentera laut ke perairan antarabangsa.

Pengusiran itu turut dikritik sebagai tidak berperikemanusiaan oleh badan hak asasi manusia dan serta wakil Malaysia ke Suruhanjaya Antara Kerajaan Asean Mengenai Hak Asasi Manusia (AICHR), Eric Paulsen.

Insiden itu bagaimanapun mencetuskan sentimen kebencian terhadap pelarian Rohingya, sehingga ada yang mencadangkan agar Malaysia mengumpulkan mereka di satu tempat, sama seperti layanan terhadap pelarian Vietnam pada akhir 1970-an.

Dr Mahathir jadi perdana menteri kali pertama pada 1981, tiga tahun selepas Malaysia membuka Pulau Bidong di Terengganu sebagai pusat penempatan pelarian dari Vietnam.

Mereka meninggalkan Vietnam untuk lari daripada kerajaan komunis yang mengambil alih negara selepas tamat perang dengan Amerika Syarikat pada 1975.

Ketika Pulau Bidong ditutup sebagai kem pelarian pada hujung 1991, dianggarkan kira-kira 250,000 pelarian Vietnam pernah menetap di situ, sebelum dipindahkan ke negara lain termasuk Amerika Syarikat dan Eropah serta pulang ke negara asal. – 29 April, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen