SERAMAI 154 individu yang melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan membuat penempatan haram di kawasan hutan Ulu Rening, Batang Kali didakwa di Mahkamah Kuala Kubu Bharu, hari ini.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Fadzil Ahmat berkata, timbalan pendakwa raya bersetuju untuk mendakwa 154 orang hari ini.
“Pihak timbalan pendakwa raya setuju untuk menuduh 154 tertuduh di bawah Peraturan 6(1) Peraturan-Peraturan Penyakit Berbahaya 2020,” katanya.
Semalam, polis menyerbu kawasan penempatan haram yang dihuni oleh kumpulan Dewan Perkasa Ekonomi Islam Nusantara (DPEIN).
Dalam serbuan itu, seramai 238 individu iaitu 76 lelaki, 77 wanita dan kanak-kanak serta bayi (85) ditahan.
Menurut polis, serbuan dilakukan selepas polis menerima maklumat berlaku pelanggaran PKP di kawasan berkenaan pada jam 5 petang semalam.
“Ia adalah kawasan hutan yang baru diteroka dan dibuat penempatan sementara.
“Banyak khemah dibina yang dijadikan sebagai tempat tinggal, tempat memasak dan mandi,” kata Fadzil pada sidang media, malam semalam. – 29 April, 2020.
Komen