Azmin pengkhianat, kata Anwar


Sheridan Mahavera

Anwar Ibrahim dan Mohamed Azmin Ali pada Kongres Masa Depan Bumiputera dan Negara 2018. Azmin, bekas timbalan presiden PKR, kini menyertai kerajaan Perikatan Nasional. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 April, 2020.

ANWAR Ibrahim tidak menganggap tindakan Mohamed Azmin Ali membelot Pakatan Harapan (PH) sebagai isu peribadi tetapi mengakui perbuatan bekas anak didiknya itu satu khianat.

“Bukan peribadi,” kata ketua umum PH itu dalam temu bual bersama stesen radio BFM pagi ini.

“Saya sudah lama berada dalam politik. Saya sudah terima banyak serangan, ini bukan peribadi.”

Azmin dahulu merupakan anak didik dan orang kanan Anwar. Bekas timbalan presiden PKR itu mengetuai sepuluh ahli Parlimen parti keluar dan menyertai Bersatu.

Bagaimanapun, Anwar menyifatkan tindakan Azmin menyertai Perikatan Nasional pada hujung Februari lalu satu perbuatan khianat.

“Hakikatnya, beliau khianat. Ini kenyataan. Khianat tetap khianat,” katanya, mengulas mengenai keputusan Azmin yang menyebabkan kerajaan PH tumbang.

Azmin merupakan pembantu Anwar sejak presiden PKR itu menyertai Umno lebih 30 tahun lalu dan kemudian memulakan gerakan Reformasi pada 1999.

Semasa dalam kerajaan PH, Azmin adalah timbalan presiden PKR dan menteri hal ehwal ekonomi.

Pada hujung Februari lalu, Azmin bersama sepuluh ahli Parlimen PKR keluar dari parti dan menyertai Bersatu yang meninggalkan PH, sekaligus menumbangkan kerajaan.

Azmin dan Bersatu kemudian menyertai Umno serta PAS membentuk kerajaan Perikatan Nasional. Azmin kini menteri kanan (Perdagangan Antarabangsa dan Industri). – 29 April, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen