Suspek serangan bom Kuil Erawan kembali ke Thailand


Kuil Erawan yang merupakan antara tumpuan pelancong asing di tengah kota Bangkok menjadi sasaran serangan bom pada Ogos 2015 menyebabkan 20 orang terbunuh termasuk lima rakyat Malaysia.– Gambar EPA, 22 November, 2017.

SALAH seorang suspek kejadian letupan bom di Kuil Erawan pada Ogos 2015, yang mengakibatkan 20 orang terbunuh termasuk lima rakyat Malaysia, kembali ke Thailand hari ini bagi menghadapi pertuduhan terhadapnya  oleh pihak berkuasa.

Wanna Suansan, 29, yang berkahwin dengan salah seorang suspek dalam kejadian itu yang masih bebas, ditahan sejurus tiba di Lapangan Terbang Suvarnabhumi kira-kira jam 3 petang waktu tempatan, dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Thailand, di mana dia menjalani pemeriksaan kesihatan.

Wanita terbabit tiba di lapangan terbang tersebut bersama-sama dua anaknya dan disambut anggota keluarganya sebelum dibawa oleh anggota polis.

“Selepas ditahan dan disiasat, wanita terbabit akan diserahkan kepada pendakwa raya Mahkamah Tentera,” kata Timbalan Ketua Polis Negara Thailand, Jen Srivara Rangsibrahmanakul kepada media di sini hari ini, sambil menambah bahawa suspek tidak diekstradisi dari Turki.

Beliau juga enggan mengesahkan sama ada wanita terbabit tiba dari Turki.

Wanita berkenaan dijangka dihadapkan di Mahkamah Tentera, esok.

Menurut Srivara, pihak berkuasa telah mengeluarkan 17 waran tangkap terhadap suspek yang dipercayai terlibat dalam insiden pengeboman paling buruk di negara berkenaan, ​​​​di kuil yang popular dengan pelancong asing itu, yang terletak di tengah-tengah ibu kota Thailand.

Beliau berkata 14 lagi suspek yang dikenakan waran tangkap oleh polis masih bebas, dengan kepulangan Suansan serta penahahan dua lelaki Uighur pada 2015, yang kini menghadapi tuduhan melakukan pengeboman tersebut.

Ketika dihadapkan di Mahkamah Tentera tahun lepas, dua lelaki Uighur, Mohamed Bilal, 31, alias Adam Karadeg, dan Mierali Yusufu, 27, dari Xinjiang, China, mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan melakukan pengeboman itu, yang juga menyebabkan 120 orang cedera. – Bernama, 22 November, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen