Percepat langkah buka semula ekonomi, kata pakar 


Bernard Saw

Perintah Kawalan Pergerakan yang dikuatkuasakan pada 18 Mac berjaya mengurangkan jangkitan Covid-19 di seluruh negara.– Gambar fail The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 29 April, 2020.

PAKAR ekonomi mendesak Putrajaya untuk menyediakan pelan bagi melonggarkan kawalan pergerakan terhadap lebih banyak sektor susulan jumlah jangkitan Covid-19 di Malaysia semakin menurun.

Menurut mereka, kini tiba masanya untuk memfokuskan kepada ekonomi namun bersetuju keutamaan tidak bleh diberikan terhadap sektor atau industri yang memerlukan jumlah pekerja yang ramai di kawasan tertutup. 

Pensyarah ekonomi Universiti Tunku Abdul Rahman, Dr Wong Chin Yoong berkata, impak koronavirus terhadap ekonomi negara lebih teruk sekiranya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan, namun Putrajaya tidak boleh menunggu sehingga sifar jangkitan. 

Walaupun selepas tiada kes direkodkan di negara ini, tempoh kuarantin 14 hari perlu dilaksanakan sebelum kawalan pergerakan ditamatkan, yang mana ketika itu, keadaan ekonomi adalah teruk, katanya kepada The Malaysian Insight. 

“Sekiranya kita mahu tunggu, itu mustahil dan ekonomi tidak akan mampu bertahan.

“PKP sama dengan dasar lain, kamu perlu pertimbangkan baik dan buruk bersama. PKP baik dari segi kesihatan awam kerana kamu mengelak daripada jangkitan, namun ekonomi yang akan terkesan. 

“Tapi pada saya, titik keseimbangan kini cenderung ke satu pihak, dan kerosakan kepada ekonomi akan lebih besar berbanding kesihatan awam,” katanya. 

Semalam Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) Mohamed Azmin Ali memutuskan sektor yang dibenarkan beroperasi dengan kapasiti terhad semasa tiga fasa pertama (18 Mac hingga 28 April) perintah kawalan pergerakan (PKP) boleh beroperasi penuh.

Industri pembinaan, jentera dan peralatan, aeroangkasa dan automotif merupakan antara sektor yang dibenarkan beroperasi penuh mulai hari ini. Antara lain, perkhidmatan sains, profesional dan teknikal, perubatan tradisional dan konvensional dan kedai perkakasan, elektrik dan elektronik.

Azmin berkata syarikat  ini tidak perlu membuat permohonan semula dengan kementerian untuk beroperasi penuh. 

“Mereka dibenarkan kekal beroperasi tanpa had masa dan mengikut keperluan industri,” kata Azmin. 

Pakar ekonomi Institut bagi Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas) Muhammad Adli Amirullah memberitahu The Malaysian Insight, kerajaan perlu mengambil pendekatan secara berperingkat dan mengelakkan daripada membatalkan semua sekatan secara serentak.

“Saya mengesyorkan kelonggaran sekatan pergerakan secara berperingkat selepas mengambil kira nasihat Kementerian Kesihatan, mungkin boleh benarkan operasi di zon hijau.

“Kita tidak boleh batalkan semua sekatan sekali gus, kerana walaupun PKP tiada, Covid-19 masih ada,” kata Adli. 

Malaysia mencatatkan jumlah kes jangkitan dua angka sejak 17 April, manakala kes pulih melebihi kes baharu. Secara kumulatif, negara mencatatkan 5,851 kes jangkitan dan 100 kematian setakat semalam.

Ia turut melepasi kemuncak pada 4 April dengan 217 jangkitan, yang mana Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata ia hasil PKP yang dikuatkuasaan pada 18 Mac. PKP dilanjutkan setiap dua minggu, dan kini ia dilanjutkan sehingga 12 Mei.  

Pada 24 April, Dr Noor Hisham berkata Malaysia kini dalam fasa pemulihan selepas berjaya meratakan lengkungan kes Covid-19. 

Buat mengikut zon, sektor utama

Walaupun Kementerian Kesihatan jelas perlu dirujuk mengenai rancangan untuk membuka kembali sektor ekonomi secara beransur-ansur, Wong dan Adli menyarankan agar kerajaan membuat rancangan berdasarkan zon dan sektor keutamaan.

Sementara itu, Wong berkata, kerajaan dapat menutup zon merah, kawasan dengan mempunyai lebih dari 40 kes aktif, kerana jumlah zon kuning (kurang dari 40) dan zon hijau (tidak ada kes) terus meningkat.

Jumlah zon merah, dari segi kes aktif, telah menurun sejak beberapa hari lalu, walaupun Kementerian Kesihatan mengatakan sebuah daerah hanya akan diklasifikasikan semula sebagai zon hijau setelah selesai kuarantin 14 hari tanpa jangkitan baru.

Beliau bersetuju bahawa industri yang beroperasi dengan sebilangan besar pekerja dalam hubungan rapat harus ditutup.

Perniagaan lain yang Wong rasakan harus ditutup termasuk perniagaan hiburan, sukan dan kecergasan, dan projek pembinaan berskala besar.

“Bagi perniagaan yang sudah bekerja dari rumah, sekatan tetap perlu dikenakan kerana membatalkannya hanya  membawa sedikit keuntungan tetapi lebih banyak risiko,” katanya.

Adli berkata, perniagaan makanan dan minuman dan rantaian bekalan berkenaan perlu diberi keutamaan kerana negara tidak boleh menghadapi kekurangan bekalan makanan ketika berdepan dengan pandemik. 

Beliau juga berkata, perniagaan melibatkan rantaian bekalan global juga perlu dibuka semula untuk meningkatkan ekonomi. 

Tambahnya, sektor pembuatan juga perlu diberi keutamaan, kerana industri ini tiada cara untuk bekerja dari rumah. 

Sementara itu Wong berkata sektor ini sudah dibuka semula di China dan Putrajaya perlu mengambil langkah yang sama. 

“Faedahnya akan lebih besar, pengeluaran akan meningkat dan rakyat akan mengendalikan mesin. Tetapi sudah pasti langkah penjagaan kesihatan perlu dikekalkan,” katanya. 

Wong juga mengatakan beberapa sekatan pada sektor logistik harus ditarik balik kerana penting untuk rantai bekalan, sambil menambah bahawa ia juga dapat berfungsi sebagai batu loncatan untuk membuka kembali lebih banyak industri di kemudian hari.

Beliau turut mencadangkan perkhidmatan di zon hijau tu diperketatkan kerana ia hanya untuk menghalang penularan Covid-19. 

Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob sebelum ini berkata, kerajaan mahu mengekalkan zon hijau dengan menghalang kemasukan ke kawasan itu bagi mengelakkan jangkitan. 

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah juga berkata, langkah untuk mengekalkan zon hijau akan diumumkan tidak lama lagi. 

Wong berkata, kerajaan turut meningkatkan kapasiti rawatan Covid-9 dan “meratakan lengkungan” yang bermakna hospital mampu mengendalikan kes baharu sekiranya ada kenaikan selepas sekatan ditamatkan.– 29 April, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen