Suspek dalang serangan Mumbai dibebaskan 


Hafiz Saeed yang mengetuai kumpulan pengganas yang disenaraikan Persatuan Bangsa Bangsa Bersatu, Jamaat-ud-Dawa (JuD) akan dibebaskan esok. – Gambar EPA, 22 November, 2017.

MAHKAMAH Pakistan pada Rabu mengarahkan pembebasan salah seorang yang disyaki menjadi dalang serangan di Mumbai pada 2008 yang menyebabkan lebih 160 orang terbunuh, beberapa bulan selepas tekanan Amerika Syarikat berhubung dakwaan sokongan kepada kumpulan militan.

Hafiz Saeed yang mengetuai kumpulan pengganas yang disenaraikan Persatuan Bangsa Bangsa Bersatu, Jamaat-ud-Dawa (JuD) dan mempunyai wang hadiah sebanyak AS$10 juta ke atasnya, akan dibebaskan esok selepas kurang setahun dalam tahanan berikutan keputusan Mahkamah Tinggi Lahore, menurut kenyataan rasmi JuD.

“Semakan yang dibuat ke atas kes itu….menolak untuk melanjutkan tahanan rumah berikutan kegagalan kerajaan untuk menyediakan sebarang bukti dakwaan yang dikenakan,” kata jurucakapnya, Ahmed Nadeed.

Pembunuhan beramai-ramai di Mumbai disiarkan secara langsung dalam televisyen di seluruh dunia ketika pasukan komando menyerang kumpulan lelaki bersenjata, yang tiba dari laut pada petang 26 November, 2008.

Pihak berkuasa mengambil masa tiga hari untuk mengawal sepenuhnya bandar itu.

JuD, yang beroperasi secara bebas di seluruh Pakistan sangat popular denga kerja amal, yang disifatkan oleh AS dan India sebagai barisan hadapan Lashkar-e-Taiba (LeT), sebuah kumpulan militan yang dipersalahkan dalam serangan itu.

New Delhi telah lama menjatuhkan kegagalan Pakistan untuk menyerahkan atau menghukum mereka yang didakwa merancang serangan terbabit, manakala Islamabad mendakwa India gagal memberikan bukti yang kukuh.

India juga berkata, terdapat bukti “agensi kerajaan” di Pakistan terbabit dalam merancang serangan itu - sekali gus dinafikan Islamabad.

Penganalisis dan pesara jeneral Pakistan Talat Masood memberitahu AFP, Saeed diberikan layanan istimewa oleh kerajaan “kerana merka fikir organisasinya memberi sokongan di Kashmir”, iaitu sebuah wilayah d Himalaya yang menjadi rebutan India dan Pakistan hingga mencetuskan peperangan antara dua negara itu.

India menyalahkan Pakistan kerana menghantar kumpulan militan, termasuk LeT, untuk mencetuskan huru-hara di kawasan yang dikuasai New Delhi.

Bagaimanapun Masood berkata, kerajaan mencari alasan baharu untuk menahan Saeed bagi mengelakkan tekanan antarabangsa, terutamanya dari Washington, yang memberi tekanan kepada Pakistan sejak beberapa bulan lalu berikutan dakwaan sokongan kepada militan termasuk Taliban di negara jirannya Afghanistan.  – AFP, 22 November, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen