Fuziah Salleh didakwa kes berita palsu esok


Fuziah Salleh, bekas timbalan menteri pentadbiran Pakatan Harapan akan dituduh di Mahkamah Sesyen di Johor Bahru. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 April, 2020.

AHLI Parlimen Kuantan Fuziah Salleh akan didakwa di mahkamah di Johor Bahru pagi esok kerana menyebarkan berita palsu melalui Facebook, baru -baru ini, kata jurucakap polis di Bukit Aman.

“Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Jabatan Siasatan Jenayah, Bukit Aman akan membuat pertuduhan siasatan bagi kes penyebaran berita palsu menerusi hantaran di laman Facebook milik YB Fuziah Salleh esok,” kata polis dalam satu makluman.

Bekas timbalan menteri itu sebelum ini disiasat oleh polis berhubung penyebaran sebuah klip video yang didakwa kononnya rakyat Malaysia di Singapura merempuh kawalan pihak berkuasa imigresen di Tambak Johor untuk balik ke tanah air.

Klip video itu dipaparkan di akaun Facebook beliau ketika republik itu mula mengenakan kawalan pergerakan berkuat kuasa 7 April.

Rakaman itu bagaimanapun diturunkan beberapa jam kemudian dengan notis memohon maaf “tersilap” menaikkan sepotong rakaman video lama.

Ketua Pengarah Imigresen Khairul Dzaimee Daud dalam reaksi segera ketika itu berkata rakaman video berkenaan adalah suasana latihan kebakaran di Bangunan Sultan Iskandar, iaitu kompleks imigresen, kastam dan kuarantin di Johor Bahru, pada 18 Disember 2019.

Menteri Kanan Keselamatan Ismail Sabri Yaakob kemudian berkata tiada siapa akan terlepas daripada tindakan menyebar berita palsu kerana ia kesalahan serius.

Katanya, penyebaran berita palsu tidak membantu usaha kerajaan menangani krisis penularan Covid-19.

“Tiada siapa terkecuali dan lebih tinggi daripada undang-undang. 

“Sesiapa saja yang terlibat menyebarkan berita palsu tidak akan terlepas walau apa kedudukan mereka sekali pun,” kata Ismail, pada 10 April.

Polis dilaporkan mengambil keterangan Fuziah di Kuantan pada 11 April.

Peguamnya kemudian membuat kenyataan kepada media mendakwa tindakan pihak berkuasa keterlaluan kerana bekas timbalan menteri itu sudah memadam dengan sukarela paparan video itu selepas menyedari ia video lama.

Ismail dalam reaksi balas bagaimanapun menegaskan pihak berkuasa akan tetap mengambil tindakan walaupun berita palsu yang dimuat naik ke laman media sosial kemudiannya dipadam.

Pengarah JSJ Bukit Aman Huzir Mohamed sebelum ini berkata Fuziah disiasat mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan atas jenayah fitnah dan Seksyen 505(b) kanun yang sama bagi jenayah mengeluarkan kenyataan yang mendatangkan khianat awam.

Kes juga disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian, katanya.

Sementara itu, Fuziah dalam satu kenyataan mengesahkan menerima notis saman untuk hadir ke Mahkamah Majistret Johor Bahru pada 8 pagi esok.

Katanya, beliau akan mempertahankan diri dan yakin berada di pihak yang benar.

“Sekiranya pertuduhan ini bersifat politik ianya amat amat dikesali dan tidak seharusnya berlaku. Saya akan terus pertahankan kebenaran dan hak saya serta pasti bahawa yang hak itu akan terserlah jua,” katanya. – 28 April, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen