.jpg)
SEJAK hari pertama Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diperkenalkan di negara kita, maka bermulalah satu episod baru “new normal” dalam suasana yang cukup berlainan dan asing. Masyarakat mula hidup dalam keadaan yang cukup berjaga-jaga demi kemaslahatan dan kebaikan negara.
Tempoh PKP yang sudah mencapai fasa keempat ini sememangnya bukanlah satu perjalanan yang cukup mudah bagi sesetengah orang, ada yang terkesan dek kerana kehilangan pekerjaan disebabkan bekerja secara harian dan ada juga yang telah diberhentikan kerja. Situasi ini berlaku di seluruh negara, termasuk Sabah dan Sarawak.
Kehadiran badan bukan kerajaan ataupun NGO dalam membantu golongan yang terkesan ini dilihat cukup membantu kerajaan menyelesaikan masalah kekurangan makanan asas dan bantuan lain dan ini memperlihatkan kepada negara bahawa peranan NGO ketika fasa bencana sangat penting dalam melengkapi keperluan kemanusiaan sedia ada.
Bagi Malaysian Relief Agency (MRA), pengalaman hampir sedekad menguruskan bantuan kemanusiaan di lapangan nasional dan antarabangsa telah menjadikan MRA cukup bersedia dari segenap sudut perancangan dan bantuan, Malah kehadiran MRA di kawasan Borneo (Sabah, Sarawak & Labuan) melengkapkan pengurusan bantuan kemanusiaan di seluruh Malaysia.
Di Sabah saja, sepanjang 3 fasa PKP dilaksanakan, kumpulan sukarelawan MRA berjaya menghulurkan lebih 1,500 pek makanan asas yang diberikan secara khusus kepada penduduk yang terjejas dan sukar diakses seperti di pedalaman Tambunan, Beaufort, Ranau, Sabah, kawasan berisiko tinggi (Zon Merah) di Tawau serta bantuan di Pek makanan di Wilayah Persekutuan Labuan.
Malah, MRA Sabah juga berjaya menjejak dan membantu kumpulan miskin bandar di sekitar Kota Kinabalu.
Disamping itu, melalui usaha MRA dan badan korporat seperti The Edge, Mr DIY Group Trading menghantar bantuan sokongan perubatan bagi kegunaan hospital di seluruh Sabah. Melalui penghantaran bantuan dari penerbangan ihsan TUDM, sebanyak 143,000 topeng muka, 3,000 set PPE dan 20 set mesin ventilator berjaya dihantar kepada hospital KKM yang memerlukan seluruh Sabah melalui kerjasama erat MRA dan kerajaan negeri Sabah.
Bagi Sarawak pula, walaupun MRA Sarawak baru ditubuhkan, kumpulan sukarelawan di sana cukup aktif melaksanakan khidmat kemanusiaan dengan menyantuni kumpulan perantau di Kuching dan daerah lain yang tidak dapat bergerak ke pedalaman.
Sebanyak 200 pek makanan asas diedarkan kepada golongan yang terjejas ini meliputi Kuching, Samarahan, Sri Aman dan Sibu. Malah, MRA Sarawak juga mendapat sokongan dan bantuan daripada agensi kerajaan di Sarawak dan juga penyumbang peribadi.
Dalam masa sama, MRA Sarawak juga membantu petugas barisan hadapan dengan menyumbangkan sokongan bantuan perubatan juga dengan kerjasama syarikat korporat seperti sarung tangan, facemask, PPE dan ventilator yang disumbangkan kepada kerajaan negeri Sarawak.
PKP masih lagi diteruskan, usaha yang digerakkan harus berjalan seperti biasa, sehingga hari ini MRA Borneo (Sabah, Sarawak, Labuan) masih mengekalkan momentum bantuan kemanusiaan melalui fasa baru dan misi bantuan Ramadan. Pastinya masih ramai lagi rakyat yang terkesan dan memerlukan bantuan. Semoga kita terus kuat dan menang menghadapi cabaran ini. – 28 April, 2020.
* Dr Mohd Daud Sulaiman ialah presiden Malaysian Relief Agency.
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen