Anwar sekali lagi jadi pemimpin pembangkang, kata sumber


Chan Kok Leong

Presiden PKR Anwar Ibrahim akan dinamakan sebagai ketua pembangkang di Dewan Rakyat apabila Pakatan Harapan kembali ke Parlimen sebagai pembangkang pada 18 Mei ini.

PRESIDEN PKR Anwar Ibrahim akan dinamakan sebagai ketua pembangkang di Dewan Rakyat apabila Pakatan Harapan kembali ke Parlimen sebagai pembangkang pada 18 Mei, kata sumber parti.

“Anwar akan mengetuai pembangkang sekali lagi selepas Bersatu keluar Pakatan Harapan,” kata seorang pemimpin kanan PKR kepada The Malaysian Insight.  

Keputusan dibuat oleh pemimpin kanan PKR, DAP dan Amanah selepas kerajaan Pakatan Harapan jatuh pada 24 Mac.

Kejatuhan itu disebabkan oleh peletakan jawatan Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri dan pengunduran Bersatu pada hari sama.

Walaupun Dr Mahathir masih berhubungan baik dengan PH, sumber itu berkata tidak jelas apakah beliau akan memimpin parti itu lagi.

“Walaupun Dr Mahathir masih menjadi Pengerusi Bersatu dan memberi isyarat bahawa beliau bukan lagi sebahagian daripada kerajaan baharu Perikatan Nasional yang kini dipimpin oleh presiden Bersatu Muhyiddin Yassin, masih belum jelas apa yang akan terjadi seterusnya.

“Dalam keadaan seperti itu, adalah masuk akal untuk Anwar menjadi ketua pembangkang lagi,” katanya.

Walaupun PH masih bekerjasama dengan puak Dr Mahathir di Kedah untuk mempertahankan kerajaan negeri, kerajaan gabungan itu di Johor, Perak dan Melaka jatuh susulan keputusan Muhyiddin bekerjasama dengan Umno dan PAS.  

Semasa pergolakan politik Februari lalu PH juga memutuskan untuk menyokong Dr Mahathir sebagai perdana menteri sekali lagi pada 29 Februari tetapi sejak itu belum ada keputusan di mana letaknya masa depan Dr Mahathir. – 28 April, 2020.

Berita penuh di sini. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen