Kim Jung-un mulanya sudah mati


Hasmi Hashim

MUNGKIN seluruh dunia mahu dia mati. Sebab itu berita “kehilangan” Kim Jung-un mendapat liputan meluas di tengah-tengah ribut wabak Covid-19. Dan jangan-jangan memang dia sudah mati. Beberapa pihak, sama ada media atau orang perorangan, berkata sang diktator sudah mati akibat pembedahan jantung yang gagal.

Bagi rakyat di negara-negara tetangga Korea Utara, sama ada Korea Selatan, Jepun atau mungkin juga Taiwan atau China, mereka sudah muak bercakap tentang politik. Dalam hal ini, “politik” yang dimaksudkan ialah ancaman Korea Utara untuk melancarkan senjata nuklear.

Memang di lain tempat, maksud politik berbeza-beza.

Di Malaysia, apabila Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berkata “rakyat kini muak bercakap tentang politik”, itu tidak bermakna orang awam melupakan terus peristiwa rampasan kuasa 24 Februari 2020 – peristiwa yang dikenali sebagai “Langkah Sheraton”.

Sepertimana kediktatoran, pengkhianatan mustahil untuk dilupakan mudah-mudah. Terutama sebuah bentuk rampasan kuasa yang terbesar dalam sejarah Malaysia. Cuma memang sekarang bukanlah waktu yang tepat untuk membincangkannya.

Tumpuan masyarakat adalah mengenai nasib, hidup dan kesihatan mereka.

Kebetulan wabak gelombang kedua merupakan akibat buruk rentetan Langkah Sheraton. Tidak cuma netizen yang bercakap mengenainya, tapi turut diakui oleh Profesor Jomo K Sundram dalam satu temubual baru-baru ini. Semua itu tidak lain ialah petanda, rakyat tidak lupakan titik hitam dalam perjalanan bangsa ini meski tidak membincangkan dengan tajam serta rancak.

Nama Muhyiddin dan kelompok Azmin Ali dalam melakukan rampasan kuasa itu tidak akan mudah dipadam – walau apa pun justifikasi dan alasan yang diberikan. Termasuklah dengan cara mendiamkannya, atau apa yang diungkap dalam Bahasa Inggeris sebagai “conspiracy of silent”.

Macam juga Jung-un, sekali pun sah dia sudah mati, kisah dia mengarahkan membunuh abangnya sendiri, Kim Jung-nam dalam sebuah plot penganiayaan di KLIA tiga tahun lalu akan tetap menjadi buruan berita dan ingatan dunia. Begitu juga dengan perintah membunuh pakciknya, Jang Song-theak, enam tahun lalu.

Umno cuci tangan

Menyedari bahawa beban dan pertanggungjawapan terhadap Langkah Sheraton terlalu berat, maka Umno juga mula mahu menjauhkan diri. Hendak cuci tangan.

Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan nampak paling jelas berusaha mahu memisahkan Umno daripada rampasan kuasa tersebut. Hujung minggu sudah, selain Muafakat Nasional dan Barisan Nasional (BN), katanya, Umno tiada kena mengena dengan apa juga bentuk gabungan lain. Terutama apa yang dikenali sebagai Perikatan Nasional (PN).

Dalam pertimbangan ini, nampak sekali Tok Mat lebih berprinsip, beridealisme, bahkan bermaruah. Jauh sekali kalau hendak dibandingkan dengan beberapa pemimpin muda Umno yang terhegeh-hegeh mahu menjadi menteri walau dengan apa cara. Asalkan dapat kembali memakai sut dan tali leher ke pejabat.

Bagi Tok Mat, PN tidak wujud. PN haram. PN tidak didaftarkan secara sah! Noktah.

Memang. Bukan setakat itu, PN juga tidak ada logo sendiri. Tidak ada manifesto. Tidak ada kantor. Jauh sekali alamat, nombor telefon, emel, portal, mahupun laman FB yang rasmi. Semua itu menandakan dengan jelas sejelasnya PN tidak ada struktur pentadbiran dan pengurusan.

Tidak seperti BN atau Pakatan Harapan (PH). Dalam BN, ada pengerusi dan mesyuarat berkala – termasuk menyentuh keputusan kerajaan atau dasar dari masa ke masa. Begitu juga PH yang ada tempat rujuk serta membuat keputusan tertinggi yang dikenali sebagai Majlis Presiden.

Dalam PN, satu hapah pun tidak ada. Seolah-olah semua perjalanan negara diputuskan dan ditadbir secara malar dan konspirasi. Berpakat sesama sekelompok kecil elit politik di meja makan, di rumah Muhyiddin. Sudah!

Keadaan ini menyamai politik kawalan penuh atau totalitarian seperti di Korea Utara – meski bentuk “pentadbiran sulit” dan gelap sedemikian belum benar-benar muncul dalam koridor politik Putrajaya. Namun ciri-cirinya sudah ada. Termasuklah fungsi parlimen yang dimatikan ketika negara berhadapan bencana wabak.

Kita selalu mengikuti banyak usul yang dibawa ke Parlimen sebelum-sebelum ini, ditolak. Alasan penolakan ialah sesuatu usul berkenaan tidak mendesak untuk dibincangkan. Antara usul yang mendesak ialah apabila wujudnya bencana dalam negara. Sekarang bencana berkenaan ialah wabak Covid-19.

Kalau wabak seteruk ini dan tidak pernah dihadapi negara, apa lagikah yang dimaksudkan sebagai “bencana”? Gila!

Demikianlah selain sebuah rampasan kuasa, pelanggaran demokrasi berparlimen yang dilakukan oleh kerajaan tanpa rupa itu ialah menafikan peranan parlimen ketika negara dilanggar bencana – sesuatu yang telah disedak bukan sahaja oleh ahli-ahli Parlimen PH, tetapi juga boleh beberapa badan bukan kerajaan (NGO).

Tanpa perbincangan dan kelulusan Parlimen juga, dana negara digunakan. Jumlahnya sekitar RM35 bilion, di mana RM25 bilion untuk satu pakej rangsangan yang dinamakan “Pakej Prihatin”, dan RM10 bilion pula sebagai tambahan kepada pakej asal – dikhususkan kepada peniaga kecil dan sederhana (PKS).

Pakej bantuan kepada rakyat bukan dilakukan hanya di Malaysia. Banyak negara yang terkesan oleh wabak, juga mengumumkan pengeluaran dana besar kerajaan masing-masing. Termasuklah Australia, Singapura, United Kingdom mahupun Amerika Syarikat.

Bezanya di kebanyakan negara, setiap sen dana negara yang hendak digunakan perlu dibahas di parlimen. Di situlah peranan dan kedudukan parlimen berfungsi – terutama ketika krisis atau pandemik begini.

Niat baik, cara betul

Maknanya, niat baik bukanlah alasan untuk melanggar prinsip demokrasi berparlimen. Apa yang sama penting dengan niat ialah, caranya kena betul. Setiap peraturan kewangan – begitu istilah yang digunakan dalam kerajaan – perlulah dipatuhi. Dana negara bukan milik peribadi PM. Apatah lagi menteri kewangan, menteri ekonomi atau menteri MITI.

Sekiranya pelanggaran sebegitu rupa dibenarkan, bayangkan sahaja bagaimana pengurusan dana dan kewangan kerajaan akan diperlakukan selepas ini.

Kita tidak perlu terkejut nanti bilamana negara akan diperlakukan seperti milik dua-tiga orang menteri. Di situlah punca rasuah, dan salah guna kuasa besar-besaran bisa terjadi.

Tidak sekadar itu, bencana yang lebih besar ialah pemalsuan demokrasi itu sendiri. Seperti di Korea Utara: di sebuah negara yang namanya “Republik Demokratik Rakyat Korea”, kenyataannya tidak seindah nama.

Demokrasi palsu

Di negara yang mendakwa sistem politiknya “demokratik” itulah sebenarnya kezaliman paling kejam pada era moden terjadi. Juga kediktatoran yang paling brutal.

Ada pelarian Korea Utara yang ditemubual beberapa media atau memberikan ucapan ketika mereka sudah bebas, masih berharap ada matahari di ufuk Pyongyang. Rumusan kata-kata pelarian ialah, tekanan luar tidak akan banyak mengubah keadaan politik di negara mereka. Harapan terakhir ialah kesedaran serta kebangkitan dari dalam; dari keinsafan dan azam rakyatnya sendiri.

Kita berdoa Malaysia tidak terhala ke arah kediktatoran – sama ada diktator yang keras atau pun halus.

Ciri-cirinya sudah ada sejurus kerajaan beralih tangan, pada 24 Februari hitam. Sangat sedih apabila mereka yang membuka gerbang ke arah kediktatoran ialah dalam kalangan orang yang sama yang pernah perjuangan untuk kononnya melakukan reformasi dan demokrasi.

Sebentar! Ada berita baru masuk.

Menurut maklumat perisikan Amerika Syarikat, Jung-un tidak jadi mati. Dia masih hidup. Kalau benar nyawanya panjang, sudah tentu bukan hanya bernafas di negaranya sahaja. Jiwa rakus dan kebinatangan juga boleh berada di mana-mana.

Termasuk di negara kita. – 28 April, 2020.

* Hasmi Hashim atau Budi Hekayat adalah penulis lirik dan antara pendiri kelompok kebudayaan Jalan Telawi.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen