PEMAJU menggesa Putrajaya menggubal undang-undang yang melindungi mereka kerana tidak dapat menepati tarikh akhir kontrak susulan pandemik Covid-19 menyebabkan mustahil bagi pemaju menyiapkan projek mengikut tempoh ditetapkan.
Persatuan Pemaju Harta Tanah dan Perumahan Malaysia (Rehda) mencadangkan pelepasan itu kira-kira dua minggu lalu, dengan harapan Putrajaya akan mengikut jejak langkah Singapura, yang mewartakan langkah bantuan jangka pendek bagi melindungi syarikat daripada tindakan tuntutan undang-undang.
Presiden Persatuan Peguam Hartanah Pretam Singh Darshan Singh berkata tidak ada klausa pengecualian “force majeure” di bawah Jaduah H atau Jadual G di bawah Akta Pembangunan Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) (HDA) 1966.
Force majeure (secara literalnya bermaksud kuasa atasan) ialah terma undang-undang yang kadang-kala dimasukkan dalam kontrak yang membebaskan pihak-pihak daripada memenuhi syarat perjanjian jika berlaku perang, keganasan, gempa bumi, ribut petir, akta kerajaan, letupan, kebakaran, wabak atau epidemik dan insiden lain yang di luar kawalan pihak-pihak dalam kontrak.
Rehda mencadangkan semua undang-undang berkaitan digubal untuk melindungi semua industri yang gagal memenuhi tuntutan kontrak, akibat daripada pandemik Covid-19.
Tanpa pengecualian itu, Darshan berkata amat sukar untuk menyelesaikan perbalahan antara pemaju dan pembeli rumah, kerana projek perumahan akan lewat disiapkan.
Setakat hari ini, Malaysia menjalani perintah kawalan pergerakan (PKP) lebih 40 hari, di mana menyebabkan hampir semua kerja tanah pembangunan terpaksa dihentikan. Dan masih ada kira-kira dua minggu sebelum perintah itu tamat pada 12 Mei.
Walau selepas tamat tempoh itu pun, dijangkakan ekonomi atau sektor pembinaan tidak akan terus kembali seperti biasa, dan pihak berkuasa juga memberi amaran tentang kebiasaan baharu penjarakan sosial dan perlu lebih berhati-hati kerana bimbang berlaku jangkitan baharu.
Presiden Rehda Soam Heng Choon berkata keadaan tidak akan kembali normal dengan cepat untuk industri pembinaan, kerana jumlah pekerja yang dibenarkan berada di tapak projek akan dihadkan, walaupun selepas PKP tamat.
“Bila kerja disambung semula, jumlah pekerja pembinaan akan dikurangkan sekurang-kurangnya 50%. Jadi, kemajuan dan perkembangan projek akan terjejas.”
Beliau berkata kerja pembinaan digantung ketika PKP, menyebabkan pemaju gagal menyiapkan projek tepat pada masanya.
“Kami harap kerajaan dapat menggulan Akta Covid-19 (Langkah Sementara) 2019,” katanya, merujuk kepada cadangan rang undang-undang force majeure yang dikemukakan oleh Rehda. – 28 April, 2020.
Berita penuh di sini.
Komen