Pelanggan patut jangka harga sayur lebih mahal, kata petani


Angie Tan

Pembeli dalam talian sepatutnya menjangkakan sayur yang dihantar ke rumah lebih mahal berbanding di pasar atau kedai runcit. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 April, 2020.

PERINTAH kawalan pergerakan (PKP) menyaksikan lonjakan pembelian produk segar dalam talian, dan pelanggan yang mampu berkemampuan sanggup membayar lebih berbanding harga di pasar raya atau kedai runcit kerana lebih mudah, kata petani.

Malah media sosial kini penuh dengan peluang membeli-belah dalam talian, ketika pembeli mencari cara agar tidak perlu berdepan sekatan jalan raya dan barisan panjang penjarakan sosial di pasar raya.

Tetapi “kebiasaan baru” membeli sayur-sayuran dalam talian mengejutkan beberapa pengguna media sosial, yang berpendapat harganya terlalu tinggi melebihi RM60 bagi seikat kacang panjang, sebungkus bawang merah, sawi, dua biji terung, beberapa biji lobak merah dan kentang, tongkol jagung muda, separuh labu kecil dan segenggam bendi.

Walaupun PKP menyebabkan lonjakan perkhidmatan penghantaran hasil segar, Presiden Persatuan Petani Sayur Malaysia Tan So Tiok berkata pelanggan sepatutnya sudah menjangkakan sayur yang dihantar ke rumah lebih mahal berbanding pergi ke pasar atau kedai runcit.

Selepas pengguna mengklik butang “Beli” dalam talian, terdapat banyak prosedur dan kos yang terlibat, katanya.

“Kesegaran penting dan industri mesti memastikan kualiti agar pelanggan tidak menerima sayur busuk.

“Sayur segar berbeza dengan buah. Sayur lebih cepat layu. Dan cuaca sekarang sangat panas.

“Jika terdapat lebih pesanan untuk dihantar dalam sehari, sayur tidak akan segar lagi.”

Tan berkata, kerja mengumpul, membungkus dan menghantar sayur semuanya mempunyai kos.

“Oleh itu, bagi 10 jenis sayur dijual dengan pakej berharga RM60, kira-kira setengah kilo bagi setiap jenis, saya rasa ini wajar dan tidak terlalu keterlaluan,” kata Tan.

Setiausaha Persatuan Penanam Sayur Cameron Highlands Chay Ee Mong, berkata harga sayur yang dibeli secara dalam talian, biasanya dijual dengan pakej, bergantung kepada berat dan jenisnya.

“Sayur tertentu seperti tomato dan kacang, akan lebih mahal.”

Selain kos pengangkutan, Chay berkata terdapat juga proses mengasingan dan pembungkusan selepas sayur sampai dari Cameron Highlands.

Sebilangan besar perkhidmatan penghantaran sayur dalam talian dalam pakej dan dijual dengan harga antara RM30 hingga RM50.

Ini adalah pesanan paling cepat dan paling banyak permintaan, tetapi pelanggan juga tidak mempunyai banyak pilihan kerana jenis sayur sudah ditentukan lebih awal.

Pengguna yang cerewet lebih baik membeli di pasar raya, saran Chay.

“Secara umum, harga jualan di pasar raya secara relatifnya stabil, jadi anda tidak perlu bimbang soal bayar lebih.”

Walaupun membeli-belah barangan runcit dalam talian kini popular, Chay tidak dapat meramalkan apakah itu akan terus kekal selepas PKP ditamatkan.

“Sama ada jenis perkhidmatan ini akan berterusan atau tidak, masih belum diketahui.”

PKP yang bermula pada 18 Mac, dilanjutkan sehingga 12 Mei. – 28 April, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen