3 beranak antara 12 individu ditahan kes dadah


SEORANG ahli perniagaan yang dikenali sebagai “Datuk Ajim” (dipercayai gelaran Datuk dari Palembang) bersama dua anaknya adalah antara 12 individu yang ditahan dalam beberapa serbuan membabitkan sindiket penyeludupan dadah di daerah Kota Tinggi pada 23 dan 24 April.

Ketua Polis Johor Ayob Khan Mydin Pitchay berkata suspek berusia 47 tahun itu dipercayai merupakan dalang utama sindiket penyeludupan dadah jenis syabu ke Indonesia melalui jalan laut.

“Selain mengedar dadah, suspek ini turut dipercayai mempunyai perniagaan bengkel kenderaan dan didapati telah terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah untuk tempoh yang lama berdasarkan kepada rekod kesalahan jenayah lampau.

“Penahanan ke atasnya dibuat di sebuah rumah di Felda Bukit Aping pada 24 April, jam 4.15 pagi.

“Turut ditahan bersamanya ialah empat lelaki dan tiga perempuan tempatan yang mana dua daripada mereka ialah anak lelaki dan perempuan Datuk  Ajim berusia masing-masing 18 dan 17 tahun,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor di Johor Bahru hari ini.

Beliau berkata dalam serbuan itu, polis turut merampas dadah disyaki jenis syabu, heroin dan pil yaba bernilai RM124,300 serta menyita pelbagai harta berjumlah RM181,969.

Ayob Khan berkata tangkapan ke atas Datuk Ajim dibuat susulan penahanan awal tiga lelaki tempatan berusia lingkungan 19 hingga 33 tahun di Pengerang pada 5.05 petang 23 April lepas yang menyaksikan polis turut merampas dadah jenis syabu bernilai RM168,960.

Katanya polis turut menahan seorang lagi wanita tempatan di Taman Bayu Damai, Kota Tinggi pada 11.15 pagi Jumaat lepas berkaitan kes sama.

Kesemua suspek kini ditahan reman selama tujuh hari mulai tarikh mereka ditangkap dan kes disiasat mengikut Seksyen 39(B) serta Seksyen 15(a)(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.– Bernama, 27 April, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen