Emmerson Mnangagwa angkat sumpah presiden Zimbabwe baharu Jumaat ini


Emmerson Mnangagwa akan mengangkat sumpah sebagai Presiden Zimbabwe yang baharu pada Jumaat ini, menggantikan bekas presiden Robert Mugabe yang meletak jawatan semalam. – Gambar EPA, 22 November, 2017.

BEKAS Naib Presiden, Emmerson Mnangagwa akan mengangkat sumpah sebagai Presiden Zimbabwe yang baharu pada Jumaat, lapor agensi berita China Xinhua memetik sumber stesen penyiar kebangsaan.

Beliau dilantik menggantikan bekas presiden Robert Mugabe yang meletak jawatan semalam. 

Perbadanan Penyiaran Zimbabwe berkata, Mnangagwa yang berada di luar negara sejak dipecat 6 November lepas, dijangka tiba di negara itu petang Rabu.

Sebelum itu pada Ahad, parti pemerintah ZANU-PF melantik Mnangagwa menerajui parti berkenaan menggantikan Mugabe. 

Peletakan jawatan Mugabe,93, diumumkan oleh Speaker Parlimen, Jacob Mudenda ketika sidang Parlimen membahaskan prosiding pemecatan bekas presiden itu. – Bernama, 22 November, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen