Orang awam dibenarkan ke hospital untuk derma darah semasa PKP


Chan Kok Leong

orang ramai dibenarkan ke hospital untuk menderma darah susulan bekalan di Pusat Darah Negara menurun sebanyak 33% sejak PKP dikuatkuasakan. – Gambar EPA, 27 April, 2020

PENDERMA darah dibenarkan ke hospital dan klinik kesihatan untuk menderma darah dari pukul 10 pagi hingga 10 malam walaupun ketika perintah kawalan pergerakan (PKP), kata Ismail Sabri Yaakob.

Ini memandangkan bank darah mengalami kekurangan bekalan, kata menteri kanan itu.

“Majlis Keselamatan Negara (MKN) dimaklumkan bekalan darah di Pusat Darah Negara menurun 33% sejak PKP,” kata menteri kanan (Pertahanan) semasa taklimat harian PKP di Putrajaya hari ini.

“Pusat Darah Negara meminta izin untuk beroperasi dan penderma diizinkan untuk datang menderma,” tambahnya.

Sementara itu, sebanyak 606 individu ditahan kerana melanggar PKP semalam berbanding 577 pada hari sebelumnya.

“556 direman sementara 50 dibebaskan dengan jaminan polis,” kata Ismail Sabri.

Beliau berkata jumlah tangkapan sejak PKP dilaksanakan adalah 20,617 orang (setakat 26 April).

Dalam laporan hariannya, Ismail berkata polis melakukan 829 blok jalan raya dan memeriksa 377,623 kenderaan semalam.

Katanya, terdapat juga 35,346 pemeriksaan mengejut yang melibatkan 6,131 premis. – 27 April, 2020


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen