Politik sindrom Stockholm


Haris Hauzah

ADALAH menjadi suatu bencana yang boleh mengundang malapetaka apabila kuasa internet, yang menjadi alat pengukuhan pandangan dan suara masyarakat pada ruang awam dalam memperkasakan kewujudan sebuah masyarakat sivil, tiba-tiba tiada henti dijadikan pentas politik pemimpin kerajaan menunjuk-nunjukkan kuasa.

Sewaktu seluruh rakyat terpaksa kekal duduk di rumah, dikawal oleh perintah kawalan pergerakan (PKP) yang disandarkan pada Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988, ada lebai PAS bertaraf exco negeri dan timbalan menteri yang selamba serta bangga menunjuk kuasa apa yang mereka ada melalui status-status media sosial mereka.

Bumi yang kita diami hari ini adalah bumi yang telah hancur akibat kebodohan dan kejahilan manusia.

Malangnya, kita merelakan semuanya, termasuk membenarkan pemikiran kita dirampas, intelektual kita diculik dan pandangan serta pendapat kita diperkosa, lalu kemudian terpengaruh, bersimpati dan pada akhirnya, kita berpihak pula kepada mereka.

Mengapa agaknya?

Sekian banyak kehancuran dunia yang dialami hari ini adalah hasil dari konflik peperangan kerana kegilaan kuasa, pencemaran sehingga mengakibatkan kemusnahan ekologi, ketamakan kapitalis sampai mencetuskan keruntuhan sistem kewangan dan krisis ekonomi dunia.

Sehinggalah kepada beratus wabak merbahaya yang pernah melanda dunia dan membunuh jutaan manusia.

Semuanya adalah “eksplotasi politik kuasa” yang menuntut keupayaan kita memahami erti eksploitasi, makna dominasi imperialis, serta mendefinisikan genosid dalam rangka epistemologi ekonomi, sosial dan budaya.

Suka atau tidak, kecamuk dunia pasca pandemik Covid-19 sedang menanti kita.

Di Amerika misalnya kadar pengangguran telah mencecah angka 22 juta. Buat pertama kalinya harga minyak mentah jatuh hingga di bawah paras kosong dollar Amerika.

Dalam masa itu juga sejumlah rakyat di Michigan, Washington, Arizona, Montana dan 14 negeri keluar beramai-ramai melanggar perintah “lockdown” untuk menyertai demonstrasi mendesak kerajaan agar segera membuka semula ekonomi.

Donald Trump tentu saja ditentang rakyatnya. Malah kecelaruan permainan dan kekaburan strategi politik Trump itu dibuat sewaktu kematian akibat pandemik Covid-19 di Amerika mencecah lebih 42 ribu orang sementara jumlah kes positif yang dicatatkan sedang menghampiri angka 800 ribu kes di seluruh Amerika.

Keputusan-keputusan yang dibuat Trump tentunya bukan suatu keputusan yang biasa.

Tahap kesukaran itu tentunya menjadi faktor penentuan utama untuk beliau terus relevan dalam misinya mengekalkan kuasa presiden dalam pilihan raya yang sekarang terpaksa ditangguhkan sementara. 

Dalam diam beliau menggunakan segala kelebihan kuasa eksekutif yang ada padanya untuk menghantui pemikiran rakyatnya melalui status-statusnya di media sosial.

Kecamuk politik dan huru-hara ekonomi malah status-status penonjolan kuasa oleh pemimpin parti politik di media sosial ini tentu sekali tidak hanya melanda Amerika, sebaliknya bakal dan sedang membadai keserata dunia termasuklah negara kita.

Di Malaysia, kita serasa sedikit bertuah; tidak seperti polemik politik Demokrat-Republikan yang didominasi oleh Trump sepenuhnya. 

Drama Trump yang kerap menyerang wartawan dan melenting menyalahkan media tidak kita saksikan sangat di tempat kita.

Di sini, Perdana Menteri kita lebih bijaksana menyusun kata-kata. Perdana Menteri yang diangkat dari Langkah Sheraton itu lunak membacakan doa menolak bala dan bijak mempopularkan nama Mak Cik Kiah dalam ucapannya.

Pola pemikiran menteri dan timbalan menteri serta corak permainan politik wakil rakyat parti kerajaan yang tahu bagaimana untuk mencuri perhatian dan bijak menculik fokus kepentingan umum sewaktu PKP sungguh mengkagumkan.

Sayugia diingatkan bahawa sementara menteri-menteri sibuk mengemaskini status gambar jalan-jalan saling berziarah pejabat dan rumah sesama mereka atas alasan kerja, telah ada sejumlah 16 ribu lebih tangkapan dan pendakwaan individu di seluruh negara kerana mengingkari perintah kawalan pergerakan oleh pihak berkuasa.

Bagi rakyat biasa tentunya melihat status media sosial persis rombongan exco negeri dan timbalan menteri yang sedang enak makan bersila adalah suatu pengalaman yang menyakitkan hati dan juga mata.

Kesombongan anak seorang presiden parti Melayu yang muncul semula di media sosial mengingkari PKP – yang mungkin tak tahu, tak sedar atau terlalu sombong sampai buat dia terlupa, ada rakyat sahaya yang hanya bekerja sebagai mekanik terpaksa membayar RM5,000 sebagai pilihan untuk mengelak daripada merengkok 10 bulan dalam penjara.

Begitu juga sekumpulan ulama muda yang berkumpul untuk bertemu menteri agama.

Mereka mungkin tak sedar tentang adanya ahli kariah yang dibawa ke balai oleh pihak berkuasa hanya kerana mereka mengadakan solat berjemaah sewaktu PKP.

Mengapakah agaknya boleh sekelian VVIP ini secara terang-terang dan selamba berbuat salah melanggar PKP kemudian menaikkan status menjamah masakan kampung di media sosial?

Tidak sebagaimana rakyat biasa, sekumpulan VVIP ini bebas daripada apa-apa dakwaan dengan hanya satu ucapan maaf sahaja.

Sedangkan di luar sana, ada ribuan rakyat yang ditangkap, ditahan, digari, didakwa, didenda dan berhadapan hukuman penjara. 

Mengapa semua ketidakadilan itu semacam luka kecil, tidak penting dan tak perlulah sesiapa cuba membesar-besarkannya.

Mungkin kerana semua akar punca permasalahannya adalah daripada kita juga. 

Akibat kerana merelakan segala macam pengkhianatan kepada negara, kita membenarkan pemikiran kita dirampas, intelektual kita diculik dan pandangan serta pendapat kita diperkosa – sehingga kebijaksanaan kita dibiarkan dipijak-pijak oleh permainan politik VVIP penguasa tanpa perlu diadili mahupun dibela.

Selain merelakan individu korup jadi wakil kita di Parlimen, kita juga menerima pemimpin pengkhianat yang mengkhianati mandat rakyat dalam pilihan raya sehingga ada yang jadi menteri.

Sementara kita hanya dapat melihat sahaja menteri wanita dan keluarga serta timbalannya buat lawak yang tak mampu buat kita ketawa. 

Mengaku sajalah, mungkin juga kita semua adalah pengidap sindrom Stockholm sebenarnya. – 27 April, 2020.

* Haris Hauzah, pengamat filem dan Ahli Sidang Utama Komuniti Filem Titiwangsar (Komfit).

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen