Saranan adakan persidangan Parlimen sehari diragui, kata Kit Siang


Ahli Parlimen Iskandar Puteri Lim Kit Siang mahu Kementerian Kesihatan mengesahkan adakah benar pihak mereka memberikan saranan agar sidang Parlimen dijalankan selama satu hari sahaja. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 April, 2020.

VETERAN DAP Lim Kit Siang mahu Kementerian Kesihatan menyatakan adakah benar mereka yang memberikan saranan agar sidang Parlimen dijalankan selama satu hari sahaja.

Lim berkata beliau meragui menteri di Jabatan Perdana Menteri Takiyuddin Hassan yang berkata saranan untuk mengadakan persidangan selama satu hari 18 Mei dibuat Kementerian Kesihatan.

Sidang Parlimen 18 Mei ini akan dimulakan dengan Istiadat Pembukaan yang disempurnakan oleh Yang di-Pertuan Agong Al Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan memberi kelulusan kepada kerajaan untuk pakej rangsangan ekonomi bagi mengatasi kemerosotan akibat Covid-19 dan tidak akan membenarkan soalan lisan, pertanyaan oleh menteri atau pembentangan oleh ahli Parlimen. 

“Adakah benar Kementerian Kesihatan menasihatkan agar tidak mengadakan mesyuarat Parlimen termasuk secara maya dan mesyuarat jawatankuasa terpilih?

“(Apakah kementerian) meminta kerajaan bertanggungjawab dan memeriksa semua tindakan yang berkaitan dengan pandemik Covid-19.

“Saya cukup skeptikal bahawa idea mesyuarat Parlimen selama sehari pada 18 Mei datang dari Kementerian Kesihatan,” kata ahli Palrimen Iskandar Puteri hari ini dalam satu kenyataan.

Beliau berkata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah perlu menjelaskan perkara ini dalam sidang media hariannya hari ini. – 27 April, 2020.

Berita penuh di sini. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen