.jpg)
KAMI memberi perhatian serius mengenai keadaan dan nasib pelarian yang kini tersepit oleh wabak Covid-19 di Malaysia dan juga di seluruh dunia.
Sentimen membenci pelarian kini mulai tercetus tanpa mempertimbangkan nasib mereka yang semakin parah. Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) malah mengingatkan malapetaka besar akan menimpa kem pelarian jika bantuan tidak disalur kepada mereka.
Kami menggesa atas nama Islam dan kemanusiaan sejagat, bersama semangat dan roh Ramadan yang penuh rahmat, supaya kempen menimbulkan sentimen kebencian kepada komuniti pelarian yang semakin berleluasa oleh pihak tertentu di Malaysia hendaklah segera dihentikan.
Kami kesal kini wujud kempen yang menggunakan maklumat tidak berasas, diputar belit dan menambah-nambah maklumat yang sengaja menimbul kebencian kepada satu-satu komuniti pelarian.
Malah ada yang sanggup menulis mengenai sejarah yang salah dan tidak berasas mengenai etnik yang ditindas serta bersekongkol dengan regim penindas yang memang mahu memburukkan dan menjustifikasi jenayah genosid dan penghapusan etnik yang telah dilakukan berpuluh tahun lamanya.
Kami kesal berleluasanya kenyataan di media sosial dengan kata-kata keras dan bertentangan dengan akhlak Islam bila menularkan pandangan terhadap pelarian. Sudah tentu ini bukan nilai kesopanan dan ketatasusilaan yang dipegang oleh rakyat Malaysia.
Sesungguhnya prinsip Islam sangat jelas mengenai membantu orang yang dizalimi.
Kami berpendapat adalah tidak wajar sentimen mengutuk dan mencetuskan kebencian yang tidak benar disebarkan sehingga komuniti pelarian menjadi mangsa prasangka dalam kalangan masyarakat tempatan.
Kami menyeru mereka yang ghairah dengan menyebar kebencian agar merujuk kepada perintah Allah:
“Hai orang-orang yang beriman hendaklah kamu jadi orang-orang yang selalu menegakkan (kebenaran) kerana Allah, menjadi saksi dengan adil. Dan janganlah sekali-kali kebencianmu terhadap sesuatu kaum, mendorong kamu untuk berlaku tidak adil. Berlaku adillah, kerana adil itu lebih dekat kepada takwa. Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan ” (Surah Al Maidah: 8)
Kami percaya nilai Ramadan yang sewajarnya mendidik dan menginsafkan semua atas nama persaudaraan Islam dan mengambil petunjuk dari Al-Quran dan As-Sunnah seharusnya menjadi asas kepada apa sahaja sikap dan tindakan mereka yang mengakui diri sebagai Muslim.
Kami kutip khutbah terakhir Rasulullah S.A.W pada 9 Zulhijjah tahun 10 Hijrah di Lembah Uranah, Bukit Arafah. Antara isi dari khutbah terakhir itu ialah:
“...Wahai manusia, sepertimana kamu menganggap bulan ini dan kota ini sebagai suci, anggaplah jiwa dan harta setiap orang Muslim sebagai amanah suci. Kembalikan harta yang diamanahkan kepada kamu kepada pemiliknya yang berhak. Janganlah kamu sakiti sesiapapun agar orang lain tidak menyakiti kamu lagi. Ingatlah bahawa sesungguhya kamu akan menemui Tuhan kamu dan Dia pasti membuat perhitungan di atas segala amalan kamu…...”
” ...Ketahuilah bahawa setiap Muslim adalah saudara kepada Muslim yang lain. Kamu semua adalah sama; tidak seorang pun yang lebih mulia dari yang lainnya kecuali dalam takwa dan beramal soleh…”
“...Ingatlah, bahawa kamu akan menghadap Allah pada suatu hari untuk dipertanggungjawabkan diatas segala apa yang telah kamu kerjakan.. Oleh itu, awasilah agar jangan sekali-kali kamu terkeluar dari landasan kebenaran selepas ketiadaanku…”
Isu pelarian ini adalah isu global yang sedang ditangani oleh badan antarabangsa seperti PBB yang memberi mandat kepada agensi antaranya UNHCR, UNHRC, WHO, dan WFP untuk menangani jutaan pelarian di negara berkonflik.
Kami juga menarik perhatian kepada semua warga rakyat Malaysia kepada komitmen Malaysia yang selama ini berusaha membantu pelarian yang datang dari pelbagai negara atas dasar kemanusiaan dan hak perlindungan mangsa konflik.
Selama ini sifat kemanusiaan Malaysia terus ditunjukkan dengan melibatkan kerjasama antara kerajaan, NGO dan dan agensi antarabangsa.
Malah OIC, yang Malaysia adalah negara anggota yang aktif dan berperanan besar, juga telah mengeluarkan resolusi mengenai mangsa pelarian dalam kalangan umat Islam yang memerlukan bantuan kemanusiaan.
Dalam kes etnik Rohingya, keadaan mereka lebih rumit kerana mereka tidak memiliki kerakyatan akibat dibatalkan oleh rejim Myanmar pada 1982. Kini mereka tidak dapat merujuk kepada mana-mana kedutaan untuk meminta bantuan kerana mereka tidak punya kewarganegaraan.
Kami mengambil maklum bahawa semua negara penerima pelarian memang merasa terbeban dengan kedatangan pelarian. Negara Islam seperti Turki terpaksa menanggung lebih 3 juta pelarian Syria. Malah negara kecil seperti Lebanon menerima tidak kurang 1 juta pelarian Syria dan Palestin.
Bebanan ini pasti merumitkan negara penerima . Akan tetapi sebagai negara Islam, jalan yang terbaik ialah berusaha agar perkara asas untuk mereka dilindungi untuk sementara waktu sehingga penyelesaian dapat dicari untuk mereka kembali ke tanah asal setelah mereka diberi jaminan keselamatan oleh negara mereka sendiri dan badan antarabangsa. Kami percaya semua pelarian ingin kembali ke tanah air masing-masing.
Isu yang dibangkitkan mengenai budaya hidup pelarian dari pelbagai negara yang tidak sesuai dengan budaya tempat hendaklah diterima dengan berlapang dada di samping berusaha mendidik mereka agar memahami dan menyesuaikan diri dengan budaya tempatan.
Malaysia telah menjadi negara pilihan terutama dalam kalangan pelarian Muslim. Ini adalah beban yang diterima sejak 1970-an lagi.
Sehingga hari ini Malaysia memilih tidak menjadi penandatangan kepada Refugee Convention 1951 atau Geneva Convention on Refugees. Walau bagaimanapun Malaysia telah memberi banyak bantuan kepada pelarian.
Kami berpendirian sikap Malaysia dan komitmen Malaysia membantu pelarian perlu diteruskan.
Oleh yang demikian kami menyaran kepada pihak Kerajaan:
1. Perbincangan khusus dengan UNHCR dan agensi UN yang lain untuk melihat mandat yang ada kepada badan-badan tersebut supaya dapat bekerjasama dengan Malaysia dan NGO tempatan mencari penyelesaian kepada pelarian yang ada di Malaysia.
2. Dalam mengendalikan kes kedatangan pelarian di perairan Malaysia pertimbangan kemanusiaan hendaklah diutamakan. Setiap situasi hendaklah dipertimbangkan mengikut kes bagaimana keputusan diambil untuk mengendalikan mereka yang telah masuk kedalam perairan Malaysia.
3. Malaysia perlu mengaktifkan semula gesaannya supaya Asean dan UN mengambil inisiatif tegas secara kolektif untuk menyelesaikan isu pelarian Myanmar yang melimpah ke negara jiran. Myanmar perlu ditekan supaya warga Rohingya diterima semula dan kewarganegaraan mereka dikembalikan untuk membolehkan mereka kembali ke tanah air mereka.
4. Pelarian yang ada di Malaysia perlu dikendalikan dengan secara berperikemanusiaan. Satu reformasi kerangka polisi migran yang baharu dan jelas ke arah menjaga hak asasi pelarian perlu digubal segera. Dalam masa yang sama menguruskan pelarian dengan cara yang sistematik perlu dirangka agar mereka boleh menyumbang kepada tenaga kerja Malaysia secara sah dan atas dasar kemanusiaan akses untuk mendapat kemudahan asasi seperti pendidikan, khidmat kesihatan serta keselamatan dapat dijamin.
5. Dalam keadaan wabak Covid-19, pelarian hendaklah dikendalikan dengan pertimbangan bahawa mereka tidak termasuk dalam sebarang bantuan kerajaan. Oleh kerana mereka dikehendaki patuh kepada KPK, sedangkan mereka tidak punya sebarang akses pekerjaan dan pendapatan untuk meneruskan survival kehidupan seharian, pihak kerajaan perlu bekerjasama dengan NGO dan pihak UNHCR untuk membantu mereka bagi mendapat makanan asas. Hampir semua pelarian terpaksa hidup bersempit dalam rumah yang disewa, dan kini mereka berdepan dengan masalah dihalau oleh tuan rumah kerana tidak menjelaskan sewa sedangkan pelarian sudah hilang punca pendapatan.
6. Pihak keselamatan perlu bertindak ke atas mana-mana pihak yang menimbulkan ketegangan awam seperti mengugut bunuh atau mengancam untuk melakukan jenayah keatas seseorang atau satu kelompok, yang bertentangan dengan undang-undang negara.
Kepada rakyat Malaysia, kami menggesa:
1. Hentikan prasangka kepada pelarian sebagai Muhajirin. Semangat persaudaraan Islam dan kemanusiaan perlu diutamakan berdasar prinsip Islam.
2. Hentikan penyebaran maklumat palsu yang menimbulkan fitnah dan menganiaya komuniti pelarian. Sebarang tuduhan liar yang ditular tanpa bukti yang jelas bukan sikap masyarakat Islam khasnya dan masyarakat Malaysia amnya. Jika didapati palsu dan boleh menimbulkan ketegangan awam pihak berkuasa perlu mengambil tindakan undang-undang berdasarkan peraturan negara di bawah SKMM.
3. Hormati hak hidup pelarian supaya mereka dapat hidup pada kadar minimum dan bermaruah di negara yang mereka tumpangi sementara sehingga keadaan mengizinkan mereka pulang ke tanah air.
4. Patuh kepada undang-undang negara agar tidak mencetuskan suasana yang menggugat kestabilan awam. Rakyat Malaysia perlu mengelak dari mengambil undang-undang ditangan sendiri. Sebarang perlakuan yang menyalahi undang-undang hendaklah diserah kepada pihak keselamatan untuk menangani sebarang kes khusus yang timbul. – 26 April, 2020.
*Kenyataan bersama 37 badan masyarakat yang dikeluarkan melalui Majlis Rohingya Malaysia.*
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen