Pemandu teksi ditahan miliki lebih 12,000 batang cerut seludup


POLIS menahan seorang pemandu teksi warga emas kerana memiliki kira-kira 12,500 batang cerut tidak bercukai dipercayai diseludup dari Myanmar, semalam.

Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Supt Mohd Khaizam Ahmad Shahabudin berkata lelaki berumur 73 tahun itu ditahan kira-kira pukul 1.40 tengah hari semasa melalui sekatan jalan raya susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Jalan Jaya Setia di Sungai Siput.

“Semasa ditahan, lelaki itu beri alasan mahu menghantar makanan kepada pelanggan namun pemeriksaan ke atas kenderaannya menemukan 200 kotak cerut dengan tulisan Myanmar, 50 paket mengandungi 50 batang cerut setiap satu serta 20 paket tembakau yang kesemuanya tiada label percukaian,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Siput, hari ini.

Mohd Khaizam berkata cerut itu dipercayai untuk pasaran tempatan, namun nilai rampasan tidak dapat dianggarkan kerana masih dalam siasatan dan ia merupakan rampasan pertama membabitkan cerut dari Myanmar.

Katanya, lelaki itu kini ditahan mengikut Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967 kerana memiliki hasil tembakau tidak bercukai serta Peraturan 3 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.

“Polis akan mendapatkan permohonan reman ke atas lelaki itu hari ini bagi membolehkan siasatan lebih lanjut termasuk sumber bekalan dan sejak bila warga emas terbabit terlibat,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata sepanjang tempoh PKP yang berkuat kuasa pada 18 Mac lepas, IPD Sungai Siput telah menahan 55 individu berkaitan kesalahan PKP dan 35 tangkapan telah dituduh di mahkamah. – Bernama, 26 April, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen