MALAYSIA dan Indonesia mencapai kata sepakat untuk bekerjasama menghadapi diskriminasi polisi minyak kelapa sawit Kesatuan Eropah (EU) yang diluluskan Parlimen kesatuan itu April lalu.
Ini salah satu daripada perjanjian yang dipersetujui antara Perdana Menteri Najib Razak dan Presiden Indonesia Joko Widodo dalam Rundingan Tahunan Malaysia-Indonesia Ke-12 di Kuching hari ini.
Persetujuan juga dicapai untuk kerjasama keselamatan baharu, menyelesaikan isu-isu sempadan tertunggak dan isu berkaitan pekerja Indonesia di negara ini.
Resolusi ke atas minyak kelapa sawit dan penebangan hutan yang diluluskan Parlimen EU itu akan menyukarkan Indonesia dan Malaysia mengeksport minyak sawit ke EU kerana ia mahu mengurangkan penggunaan minyak sayur-sayuran termasuk minyak sawit.
Di bawah polisi baharu ini, hanya minyak sawit yang dihasilkan melalui kaedah lestari boleh diimport masuk ke EU selepas 2020.
Najib berkata, polisi EU itu akan menjejaskan 600,000 orang di dalam industri ini di Malaysia.
Setakat ini kata Najib, Malaysia telah membangkitkan pandanga dan bantahan dengan Presiden Majlis Eropah, Donald Tusk dan mengadakan taklimat kepada semua utusan EU di Malaysia.
Jakarta dijangka mengambil pendekatan sama dengan utusan-utusan EU pada minggu yang akan datang.
Laman web Indonesian Investment sebelum ini melaporkan bahawa polisi EU itu akan memberi impak besar kepada Indonesia memandangkan negara itu adalah pengeluar dan pengeksport minyak sawit terbesar di dunia. Indonesia menghantar 15-20% dari kesemua eksport minyak sawitnya ke EU - kebanyakannya ke Belanda, Sepanyol, Itali dan Jerman.
Minyak sawit juga adalah satu daripada hasil pertukaran asing terbesar Indonesia, iaitu AS$18.6 bilion atau 13.8% dari jumlah eksport eksport bukan minyak dan gas pada 2016.
Najib dan Jokowi juga bersetuju melepaskan nelayan yang ditahan di Malaysia dan Indonesia yang menceroboh ke perairan masing-masing “secepat mungkin”.
“Mereka orang susah. Tidak adil untuk terus tahan mereka,” kata Najib.
Perkara lain melibatkan sempadan ialah persetujuan mempercepatkan perasmian Perjanjian Rentas Sempadan yang akan membuka sempadan Tebedu di Sarawak dan Entikong di Indonesia untuk perdagangan rentas sempadan serta membenarkan satu kajian bagi menubuhkan zon perdagangan bebas untuk perusahaan kecil dan sederhana di sana dijalankan.
Najib berkata kedua-dua negara juga bersetuju perlunya penyelesaian kepada nasib yang menimpa pelarian Rohingya dan mereka harus dihantar semula ke Myanmar.
Beliau menyatakan rasa gembira dengan janji Penasihat Negeri Myanmar Aung San Suu Kyi pada Sidang Kemuncak Asean di Manila baru-baru ini, yang komited mencari penyelesaian kepada krisis Rohingya di Rakhine.
Najib dan Jokowi terdahulu menyaksikan majlis tandatangan memorandum persefahaman (MoU) antara kedua-dua negara mengenai kerjasama dalam pendidikan tinggi Islam.
MoU ditandatangani oleh Menteri Pendidikan Mahdzir Khalid dan Menteri Luar Indonesia Ratno Marsudi. – 22 November, 2017.
Komen