Muhyiddin popular jika teruskan agenda lawan rasuah, kata Liew


Noor Azam Shairi Chan Kok Leong

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin tidak boleh mengelak isu politik yang sedang dihadapi dan perlu beliau tangani selepas meraih kuasa tanpa mandat rakyat, kata ahli strategi DAP, Liew Chin Tong. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 April, 2020.

PERDANA Menteri Muhyiddin Yassin boleh jadi popular jika pentadbirannya meneruskan agenda anti rasuah yang dimulakan oleh kerajaan Pakatan Harapan, kata ahli strategi DAP, Liew Chin Tong dari DAP.

Muhyiddin perlu mengambil sikap tegas dalam soal penyelewengan yang didakwa melibatkan Najib Razak dan Ahmad Zahid Hamidi serta pentadbiran Barisan Nasional (BN) sebelum ini, katanya.

“Dalam soal anti rasuah, saya kira beliau mahu meneruskan pendiriannya (menentang rasuah). Saya akan terkejut sekiranya beliau sanggup menjejaskan seluruh reputasinya untuk selamatkan Najib,” kata senator yang juga bekas timbalan menteri itu dalam satu wawancara dengan The Malaysian Insight baru-baru ini.

Beliau ditanya pandangannya mengenai kerajaan baharu yang dibentuk oleh Muhyiddin untuk mengambil Putrajaya daripada Pakatan Harapan yang hilang kuasa pada akhir Februari lalu.

Muhyiddin, yang juga presiden Bersatu, mengangkat sumpah sebagai perdana menteri pada 1 Mac. Selain sebahagian ahli Parlimen dari partinya sendiri, beliau disokong oleh Umno, PAS, Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan beberapa parti dari Sabah.

Menurut Liew, Muhyiddin yang sedang menangani pandemik Covid-19 tidak boleh mengelak isu politik yang sedang beliau hadapi, yang perlu beliau tangani selepas meraih kuasa tanpa mandat rakyat.

Ahli strategi DAP, Liew Chin Tong yakin Pakatan Harapan mampu memenangi semula Putrajaya pada Pilihan Raya Umum ke-15.– Gambar fail The Malaysia Insight oleh Hasnoor Hussain, 26 April, 2020.

Berikut adalah petikan wawancara berkenaan:

THE MALAYSIAN INSIGHT (TMI): Bagaimana saudara melihat Muhyiddin dalam soal kes mahkamah presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dan bekas presiden Najib Razak?

Liew: Saya terkejut Muhyiddin menggunakan hujah kerajaan Melayu. Tetapi dalam soal anti rasuah, saya kira beliau mahu meneruskan pendiriannya (menentang rasuah). Saya akan terkejut sekiranya beliau sanggup menjejaskan seluruh reputasinya untuk selamatkan Najib.

Apa gunanya buang masa lima tahun, dari waktu dipecat (dari Umno) pada 2016 untuk sampai ke sini sekarang (bersama Umno semula)?

Saya fikir beliau tetapkan satu pendirian dalam soal Zahid dan Najib, dan isu rasuah daripada kerajaan (BN) sebelum ini. Saya tidak pasti sama ada politik untuk keselesaan akan mengubah (pendiriannya). Saya kena lihat dulu.

Perikatan Nasional bukan gabungan untuk pilihan raya tetapi sebuah gabungan untuk merebut kuasa. Saya ada berbual dengan Muhyiddin pada 5 Februari. Saya beritahu beliau, sekiranya beliau bekerjasama dengan Umno dan PAS, Bersatu akan dimakan hidup-hidup kerana tiga parti politik bersaing atas padang yang sama dan ideologi yang sama.

Namun melihat pada susunan Jemaah Menteri, beliau yang sedang cuba makan Umno hidu-hidup. Tetapi itu cerita yang lain.

TMI: Pakatan, sebelum kejatuhannya, tidak begitu popular sebagai kerajaan. Adakah rakyat akan beri peluang kedua?

Liew: Kita tidak boleh nafikan Perikatan akan berjaya (sebagai kerajaan). Jika Muhyiddin memilih untuk memberi tumpuan kepada agenda anti rasuah, beliau akan jadi sangat popular. Kita tidak boleh ketepikan kemungkinan itu.

Namun jika kami boleh bergabung semula dengan baik, orang akan nampak bahawa ini bukan hanya tentang Pakatan. Semasa kami dalam kerajaan, rakan-rakan dalam NGO menyerahkan segala-galanya kepada kami. Namun sekarang banyak dalam kalangan mereka sedar, kita sepatutnya melakukan (perubahan) bersama-sama.

Kami harus dipersalahkan kerana ketika itu kami sedang belajar untuk mentadbir dan pada masa sama kami berdepan dengan banyak isu. Rakan-rakan kami seharusnya bersama-sama memperjuangkannya dengan kami.

Ada dalam kalangan masyarakat sivil yang merasakan mereka adalah pembangkang yang menentang kerajaan (BN) yang autoritarian. Selepas pilihan raya, sesetengah mereka masih merasakan mereka berperanan untuk menentang kerajaan. Saya rasa penentangan itu terlalu awal kerana kita sedang cuba membina demokrasi, namun usaha itu sukar.

Selepas ini, masyarakat sivil dan rakan-rakan perlu duduk bersama dan melihat bagaimana kita boleh melakukannya bersama. Sekarang ini ada terlalu banyak pakar yang memberikan pandangan bagaimana untuk menang pilihan raya.

Tetapi selepas ini soalnya bukan menang pilihan raya semata-mata tetapi menang dengan majoriti yang besar. Ia untuk menunjukkan kepada semua pihak bahawa kita bukan saja sedia untuk mentadbir dengan lebih baik tetapi ada masyarakat yang lebih luas yang sedia memperuntukkan masa mereka dalam proses mentadbir.

Ahli Strategi DAP Liew Chin Tong berkata, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin perlu mengambil sikap tegas dalam soal penyelewengan yang didakwa melibatkan Najib Razak dan Ahmad Zahid Hamidi serta pentadbiran Barisan Nasional sebelum ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 26 April, 2020.

TMI: Apa muhasabah Pakatan sejak hilang kerajaan?

Liew: Kebanyakan pemimpin memikirkan bagaimana untuk jadi pembangkang dan berhubung dengan rakyat untuk membina semula (perjuangan). Ini cabaran jangka masa pendek.

Untuk jangka masa panjang, kita perlu mempersiapkan diri untuk pilihan raya umum dan berfikir bagaimana untuk bersedia.

Persiapan jangka pendeknya ialah Parlimen apabila setiap sidang parti adalah cabaran untuk perdana menteri kerana beliau hanya ada 114 ahli parlimen yang menyokongnya. Angka ini bagaimanapun tidak bermakna sehinggalah ia diuji di Parlimen.

Beliau mungkin ada 114 tetapi pada satu-satu hari di Parlimen, sekiranya ada lima ahli Parlimen yang memutuskan tidak hadir, beliau (Muhyiddin) akan hilang sokongan. Tetapi itu bergantung pada bagaimana kami bersama-sama dan berdisiplin. Ini sesuatu yang kami perlu uruskan dalam jangka pendek ini.

Saya harap rakyat akan sedar bahawa negara lebih penting dan memberi tumpuan kepada agenda (kerajaan). Kita belum tahu apa agenda perdana menteri.

Sekiranya agenda beliau ialah membanteras rasuah maka Pakatan akan menyokongnya. Kita perlu sokong apa yang baik untuk negara dengan syarat ia dilakukan dengan sewajarnya.

Muhyiddin perlu membentangkan agendanya dan meminta sokongan kami. Sekiranya itu agenda melawan rasuah, kami akan sokong. Kami akan sokong sepenuhnya agenda yang akan memastikan mereka yang merompak negara diadili.

Saya harap persaingan ini berasaskan agenda… persaingan Parlimen bukan semata-mata menjatuhkan Muhyiddin tetapi apa yang beliau tawarkan untuk negara.

TMI: Bolehkah Pakatan menang PRU15?

Liew: Boleh, kerana DAP sudah tiada lagi untuk dipersalahkan (dalam kerajaan). Sebelum ini penentang kami menyalahkan DAP atas semua masalah negara. Kepada orang Melayu, mereka kata kerajaan dikuasai oleh DAP dan kepada orang bukan Melayu, mereka salahkan DAP kerana berdiam diri dan tunduk pada Dr Mahathir Mohamad.

Hari ini, sudah tidak boleh salahkan DAP lagi kerana sekarang ini dikatakan sebuah kerajaan Melayu atau Islam. Jadi, semua masalah dalam negara tidak lagi boleh ditunjukkan kepada DAP.

Tetapi pengajaran daripada apa yang berlaku ialah kita perlu ada sebuah gagasan, identiti dan dasar sederhana yang jelas, termasuk rangka ekonomi yang akan membezakan kita dengan Perikatan Nasional. – 26 April, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen