Pakaian dalam wanita antara barang terlaris dalam talian ketika PKP


Sheridan Mahavera

E-dagang terus menjadi salah satu daripada beberapa industri yang akan berkembang dalam keadaan yang mencabar. – Gambar EPA, 26 April, 2020.

MAKANAN, peralatan memasak dan barangan bayi berada di kedudukan teratas dalam senarai barang yang dibeli oleh rakyat Malaysia dalam talian ekoran penutupan kedai sejak enam minggu terakhir perintah kawalan pergerakan (PKP) dikuatkuasakan untuk mengekang penularan Covid-19.

Barangan yang termasuk dalam senarai itu juga adalah pakaian dalam wanita, sarung tangan getah, peralatan mandian dan dan makanan tambahan untuk kesihatan bagi membantu pengguna menjaga tahap kebersihan yang tinggi dan meningkatkan sistem pertahanan tubuh, kata peniaga e-dagang dan pakar industri.

Peniaga memberitahu The Malaysian Insight keinginan untuk kekal sihat juga mendorong peningkatan penjualan tikar senaman, dumbel, tali lompat dan peralatan senaman dalam rumah yang lain.

Oleh kerana kebanyakan orang terpaksa bekerja dan bersekolah di dalam talian dari rumah mereka, komputer riba dan aksesori komputer seperti mikrofon juga merupakan barangan laris.

Syarikat e-dagang, Commerce.Asia, mengatakan penjualan melalui platform dalam talian menyaksikan lonjakan 149% pada suku pertama tahun ini berbanding tempoh yang sama tahun lalu setelah PKP dikuatkuasakan pada 18 Mac.

“Membeli-belah dalam talian kini menjadi ‘kebiasaan baharu’ kerana pandemik Covid-19 menyebabkan perniagaan e-dagang berkembang secara global apabila orang mengalihkan tabiat perbelanjaan mereka ke platform dalam talian,” kata Pengasas dan Ketua Eksekutif Commerce.Asia, Ganesh Kumar Bangah.

“E-dagang terus menjadi salah satu dari beberapa industri yang akan berkembang dalam keadaan yang mencabar,” kata Ganesh.

Putrajaya mengenakan PKP untuk memutuskan rangkaian penularan koronavirus yang menjangkiti 5,742 individu di Malaysia dan setakat ini membunuh 98 orang.

PKP kini akan memasuki fasa keempat dari 29 April hingga 12 Mei.

Di bawah PKP, hampir semua operasi peruncit ditutup kecuali restoran dan pasar raya yang menjual barang keperluan harian.

Platform e-dagang dan perkhidmatan penghantaran barang juga dibenarkan beroperasi semasa PKP.

Oleh kerana PKP menjadikan hampir semua rakyat Malaysia menjalankan kuarantin rumah, laman web seperti Shopee dan Lazada telah memperluas rangkaian barangan dan perkhidmatan mereka untuk memenuhi keperluan harian pengguna.

Shopee misalnya melancarkan kempen “Stay Home Essentials” yang menampilkan lebih daripada 20,000 produk yang biasa dibeli seperti bahan makanan segar dan kering, barangan bayi, susu formula, lampin, mainan, produk penjagaan diri, barang keperluan rumah, dan makanan haiwan kesayangan.

“Mulai Februari pengguna kini dapat membeli hasil segar seperti sayur-sayuran, makanan laut, buah-buahan daripada platform dan menerimanya di depan pintu mereka,” kata Pengarah Urusan Wilayah Shopee, Ian Ho.

Shopee bekerjasama dengan para petani dan kumpulan nelayan tempatan untuk membantu menjual hasil mereka setelah PKP menutup pasar pagi dan malam.

“Kami melihat peralihan jenis produk yang kini dibeli oleh rakyat Malaysia kerana lebih banyak yang membeli-belah dalam talian untuk keperluan harian mereka seperti ayam segar, makanan laut, sayur-sayuran, beras, minyak masak, pasta, biskut, tepung, lampin dan susu formula,” tambahnya.
   
Oleh kerana lebih banyak rakyat Malaysia memasak di rumah, terdapat peningkatan jualan alat penggoreng elektrik, pengisar jus, pembuat roti, periuk nasi dan ketuhar elektrik, kata Ho.

Jurucakap laman web Lazada juga memberitahu perkara serupa, dengan mengatakan perkakas, peralatan dan bahan untuk membuat roti meningkat sebanyak 50% sepanjang tempoh PKP.

“Terdapat juga lonjakan pembelian produk yang berkaitan dengan kopi seperti alat pengacau susu yang meningkat dua kali ganda lebih dari 200% diikuti oleh mesin kopi, biji kopi dan teh,” kata jurucakap Lazada.

“Kami juga melihat peningkatan permintaan untuk telesidang dan aksesori komputer, kerana rakyat Malaysia mencari keperluan di Lazada bagi mewujudkan persekitaran kerja di rumah yang lebih kondusif dan produktif.”

Barangan jualan laris yang lain menurut Ho adalah pembasmi kuman, cecair sanitasi tangan, topeng muka, gel mandi antibakteria dan sabun pencuci tangan serta peralatan senaman seperti tikar senaman, tali lompat dan dumbel.

Penjualan sarung tangan getah menyaksikan kenaikan sebanyak 888% berbanding sebelum PKP mengikut tarikh yang dikumpul daripada platform e-dagang, kata Ganesh dari Commerce.Asia.

“Barang-barang penting seperti makanan, peralatan mandian dan produk bayi meningkat dalam penjualan seperti yang telah dijangka, namun apa yang mengejutkan, antara produk yang paling banyak dijual semasa PKP adalah pakaian dalam wanita,” kata Ganesh.

Penjualan pakaian dalam wanita meningkat sebanyak 909% semasa PKP, katanya. – 26 April, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen