PBS kata Shafie hipokrit, cuba menghasut


DAKWAAN Shafie Apdal bahawa pemimpin Kristian dalam Barisan Nasional (BN) di Sabah takut untuk menyuarakan tentang hak agama itu bersifat cuba  memisahkan masyarakat Kadazandusun Murut (KDM).

Setiausaha Agung Parti Bersatu Sabah (PBS) Johnny Mositun berkata ia bertujuan mengeksploitasi sensitiviti penganut Kristian dan menghasut mereka menentang BN.

Beliau berkata Shafie turut menamakan beberapa pemimpin Kristian daripada parti komponen BN yang dikatakan gagal melindungi agama mereka dan tidak menolak kerjasama Umno serta PAS.

“Semua pemimpin KDM yang dinyatakan Shafie ialah individu yang secara terbuka mempertahan hak masyarakat Kristian di Sabah termasuk hak menggunakan perkataan ‘Allah’ dalam  terjemahan Bible bahasa Melayu dan penyembahan.

“Kerajaan BN telah mengakui tuntutan ini, jadi apa Shafie cuba katakan?” katanya dalam kenyataan di Kota Kinabalu hari ini.

Mengenai kerjasama PAS-Umno, beliau berkata ia adalah hak mana-mana parti komponen BN untuk bekerjasama dengan parti bukan BN selagi ia tidak dilakukan untuk menentang gabungan parti sedia ada.

“Tambahan pula, kerjasama itu tidak rasmi dan PAS bukanlah ancaman kepada kita di Sabah, jadi mengapa kita perlu berhadapan dengan Umno. Perdana menteri sendiri telah memberi jaminan kepada kita bahawa semua hak kita akan dihormati, malah hak yang terhakis akan dikembalikan,” katanya.

Mositun berkata PBS menentang penggunaan agama untuk kepentingan politik kerana ini akan memusnahkan budaya toleransi, saling menghormati dan penerimaan antara satu sama lain yang telah dibangunkan dan diamalkan rakyat Sabah selama ini.

“PBS tidak akan termakan ‘umpan’ Shafie. Dia hipokrit bukan kami. Sebelum ini beliau menegaskan bahawa BN menghormati hak orang Kristian di Sabah, tetapi kini beliau bercakap lain pula. Cabaran ekonomi dan keselamatan adalah keutamaan kami, bukan politik murah,” katanya.

Beliau berkata semua pemimpin Kristian di Sabah, kerajaan dan pembangkang telah sebulat suara dalam memelihara dan melindungi amalan dan hak keagamaan mereka, dan tidak masuk akal buat Shafie dan Parti Warisan Sabah beliau untuk berlagak sebagai pembela agama Kristian di Sabah. – Bernama, 22 November, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen