AMERIKA Syarikat (AS) pada Selasa mengumumkan sekatan baharu mensasarkan beberapa entiti Cina dan Korea Utara kerana disyaki membantu program senjata nuklear Pyongyang, lapor agensi berita Korea Selatan Yonhap.
Keputusan itu dibuat sehari selepas Presiden AS, Donald Trump menyenaraikan Korea Utara sebagai penaja negara pengganas dan untuk meningkatkan tekanan kepada rejim tersebut.
Perbendaharaan AS berkata, sekatan dikenakan ke atas seorang individu warga China, 13 entiti di China dan Korea Utara, dan 20 kapal milik syarikat perkapalan Korea Utara dengan tidak membenarkan kesemua yang berkaitan mengakses sistem kewangan AS.
“Memandangkan Korea Utara terus mengancam kedamaian dan keamanan antarabangsa, kami tekad dalam usaha untuk memaksimumkan tekanan ekonomi dengan mengasingkannya daripada sumber perdagangan dan hasil luar,” kata Setiausaha Perbendaharaan Steven Mnuchin dalam satu kenyataan.
Antara entiti yang dikenakan sekatan termasuk tiga syarikat perdagangan yang berpusat di Dandong, timur laut China.
Dua entiti kerajaan – Biro Pentadbiran Maritim dan Kementerian Tanah dan Pengangkutan Marin – turut dimasukkan dalam senarai itu.
Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), sebulat suara meluluskan sekatan baharu berikutan ujian peluru berpandu jarak jauh Korea Utara pada Julai dan ujian nuklear keenam pada September.
Meskipun para pengkritik ragu sejauh mana sekatan akan memaksa Pyongyang mewujudkan Korea Utara yang bebas nuklear, namun ramai pegawai dan pakar bersetuju bahawa tekanan ekonomi sedemikian adalah satu-satunya penyelesaian menghindari peperangan. – Bernama, 22 November, 2017.
Komen