SEKURANG-KURANGNYA 7,000 pelarian Rohingya yang terperangkap dalam kawasan perintah kawalan pergerakan diperketat di Selayang dan Gombak berdepan masalah besar walaupun bantuan mula perlahan-lahan disalurkan kepada komuniti terpinggir itu, kata aktivis yang sedang giat berusaha membantu mereka.
Ketua Komuniti Rafiq Shah Mohd Ismail daripada Humanitarian Aid Selangor, berkata bekalan barangan runcit sudah disalurkan kepada hampir 3,000 buah keluarga Rohingya di kawasan itu sejak berbulan lamanya.
Tetapi, katanya, jumlah itu meningkat mendadak sejak sebulan lepas kerana penguatkuasaan PKP. Situasi bertambah buruk minggu ini selepas Selayang dan kawasan sekitarnya diletakkan di bawah PKPD.
“Terdapat hampir 7,000 keluarga Rohingya tinggal di Selayang dan Gombak,” katanya.
“Buat masa sekarang kami memberikan bantuan makanan kepada hampir 3,000 keluarga.
“Sejak PKP, kami menjangkakan jumlah keluarga (yang perlu dibantu) akan naik lima kali ganda kerana kehilangan pekerjaan di seluruh Lembah Klang.”
Katanya, setiap keluarga menerima bakul makanan bernilai RM70 yang bertahan selama dua minggu. Antara barangan dalam bakul itu termasuklah beras, minyak, tepung, ubi kentang, bawang, makanan bertin, susu bayi, biskut dan pelbagai lagi.

Bagaimanapun, Rafiq, menyuarakan kebimbangan terhadap hampir 400 buah keluarga Rohingya yang terkandas dalam kawasan PKPD di Utara Kuala Lumpur, di sekitar Pasar Borong KL di Selayang. Kawasan itu diletakkan di bawah PKPD sehingga 3 Mei.
“Ada 400 keluarga Rohingya di Flat Seri Murni dan 200 lagi tinggal di blok apartmen berhampiran.
“Kami cuba bantu tetapi tidak cukup. Jangan pandang kaum tetapi usahalah untuk tolong (semua).”
Menteri Wilayah Persekutuan Annuar Musa berkata warga asing akan diberikan barangan asas, menafikan laporan yang pelarian Rohingya di kawasan itu tidak mempunyai bekalan makanan kerana Kedutaan Myanmar tidak mengiktiraf mereka sebagai warganegara.
Keluarga Rohingya di Selayang kini kais pagi makan pagi selepas ketua keluarga hilang pekerjaan kerana PKP, yang menjejaskan bekalan makanan dan kemampuan mereka membayar sewa rumah.
Mereka kini bertahan kerana jasa bakti dan kebajikan dibuat kumpulan sukarelawan diwakili Rafiq.
Seorang penduduk Rohingya di kawasan itu, Rabiah Rashid berkata, sejak suaminya hilang kerja di pasar Selayang, kehidupan mereka sekeluarga semakin susah.
“Saya ada dua anak umur sembilan dan 11 tahun untuk diberi makan. Sejak suami hilang kerja kami bergantung kepada kemurahan hati kumpulan kebajikan.
“Dia dulu selalunya dapat antara RM50 dan RM70 sehari, sekarang tak ada apa-apa.” – 25 April, 2020.
Komen