Jangan diskriminasi graduan Timur Tengah, kata ilmuwan Islam


Ikhwan Zulkaflee

Ilmuwan Islam membidas pendapat mengatakan graduan Timur Tengah bermasalah kerana terpengaruh dengan budaya dan ideologi politik Arab. – Gambar EPA, 22 November, 2017.

GRADUAN dari Timur Tengah tidak harus didikriminasikan dan dilabel sebagai pemecah belah masyarakat, kata ilmuwan Islam.

Pengerusi Pengerusi Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Selangor (Pitas) Muhamad Hafiz Muhamad Haneefa berkata, tidak adil untuk menggolongkan graduan Timur Tengah sebagai bermasalah kerana terpengaruh dengan budaya dan ideologi politik Arab. 

“Kita tak boleh pukul sama rata. Prof Jasser seorang tokoh besar, jadi kita tidak menidakkan pandangan dia, tapi mungkin perspektif dia ialah untuk Amerika Syarikat (AS). 

“Dia banyak belajar di AS tentang pengajian Islam tetapi dia juga ada belajar di Timur Tengah. Mungkin dia lihat ada perubahan bila orang-orang AS balik (selepas menyambung pengajian di Timur Tengah,” kata Muhamad Hafiz ketika dihubungi The Malaysian Insight. 

Beliau mengulas pendapat ilmuwan Islam Prof Dr Jasser Auda bahawa Malaysia perlu berhenti menghantar pelajar ke Timur Tengah kerana mereka seringkali gagal membezakan ajaran Islam dan budaya Arab. 

Jasser, dalam satu persidangan meja bulat di Shah Alam pada Sabtu berkata, Timur Tengah adalah tempat terburuk untuk belajar agama Islam ketika ini. 

“Kita perlu bezakan antara budaya dan Islam, tetapi itu tidak bermakna budaya adalah buruk, termasuklah budaya Arab…apa yang berlaku kini banyak disebabkan politik.

“Mereka kembali dan sebarkan pengaruh mereka. Misalnya di Amerika, Kanada dan Eropah mereka pergi dan belajar di Timur Tengah dan kemudian mereka balik, mereka pecah belahkan masyarakat, mereka buat macam-macam masalah sebab mereka belajar (buat begitu) di Timur Tengah,” kata Jasser. 

Muhamad Hafiz turut menambah bahawa Malaysia mempunyai sistem pengurusan pelajar yang baik di Timur Tengah yang dapat memastikan pelajar tidak terpengaruh dengan anasir luar. 

“Pelajar-pelajar kita di Timur Tengah tidak kira jurusan apa dipantau oleh kedutaan dan KPT (Kementerian Pendidikan Tinggi). Ada pegawai dan ada pendedahan tertentu diberikan termasuk ada persatuan-persatuan. 

“Saya tak nampak doktrin dibawa pelajar dari sana boleh bawa perkara negatif kepada negara. Kita tak tahu bagaimana pemantauan AS, yang bukan negara Islam kepada pelajar-pelajar mereka di Timur Tengah, tapi kalau Malaysia saya rasa tak ada isu,” katanya Muhammad Hafiz yang juga merupakan graduan Universiti Al-Azhar. 

Tambah beliau, sesuatu pandangan atau fatwa tidak boleh diaplikasikan kepada semua tempat kerana perbezaan latar belakang masyarakat setempat. 

Penganalisis politik Dr Maszlee Malik turut berpendapat graduan Timur Tengah tidak seharusnya dicop sebagai bermasalah. 

“Isu konservatisme dan Arabisasi tidak semuanya datang dari graduan Timur Tengah. Terdapat di kalangan graduan dari Barat dan dalam negara kita juga yang bukan sekadar telah membawa arus Arabisasi, malah juga Pakistanisasi dan Iranisasi di dalam pendekatan beragama mereka,” katanya menerusi aplikasi WhatsApp. 

Tambah ahli akademik Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIA) itu lagi, terdapat banyak negara di Timur Tengah dan graduan dari setiap negara adalah berbeza. 

Maszlee berkata isu yang lebih penting ialah kualiti institusi pengajian para pelajar dan kualiti graduan. 

“Apakah tahap akdemik dan pencapaian universiti tersebut? Apakah sistem yang digunakan? Adakah para pensyarah dan professor di universiti tersebut mempunyai pencapaian yang bagus di dalam dunia akademia dan keilmuan Islam?

“Isu yang paling utama juga untuk diberikan perhatian ialah pencapaian akademik para pelajar Malaysia itu sendiri. Jika pencapaian pelajar Malaysia di negara-negara tersebut tidak memuaskan, apakah berbaloi ibu-bapa menghantar anak-anak mereka ke negara tersebut?” 

Sementara itu, pendokong institusi tahfiz, Asri Lateh tidak bersetuju dengan pendapat Jasser. 

“Kita pergi belajar agama disana (Timur Tengah) bukan belajar budaya Arab . Ramai yang balik dari sana tak ada masalah. 

“Kalau ada seorang dua pun yang tak betul itu atas individu dan bukan salah agama. Sebab kita belajar agama di sana dan bukannya budaya,” katanya ketika dihubungi. 

Jelasnya, jika ada graduan yang terpengaruh idelogi politik sesuatu negara, ia adalah berpunca dari individu terbabit. 

“Kalau ada pandangan kata bila balik dari sana memecah belakahkan masyarakat, dakwaan itu tak betul. Orang Arab sendiri kata Nabi (Muhammad) pecah belahkan masyarakat sewaktu baginda mula berdakwah dulu.” – 22 November, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen