Sifar kes aktif Covid-19 di 65 daerah


Petugas kesihatan melakukan ujian saringan Covid-19 secara pandu lalu di Selayang, Selangor. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 April, 2020.

SEBANYAK 65 daerah di seluruh negara emelaporkan tiada kes aktif Covid-19 setakat tengah hari semalam, menurut infografik Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Jumlah itu meningkat daripada 64 daerah hari sebelumnya.

Rembau yang dikategorikan sebagai zon merah dengan jumlah keseluruhan 53 kes, kini merekodkan sifar kes aktif.

Hilir Perak yang sebelum ini melaporkan 65 kes keseluruhan, sekarang turun kepada satu saja kes aktif.

Kinta, Lahad Datu dan Kota Baru yang pernah dikenal pasti sebagai zon merah, kini jumlah kes aktif turun kepada angka satu digit.

Setakat tengah hari semalam, 70 daerah dalam zon kuning dengan kurang 20 kes aktif.

Sementara itu, 13 daerah kekal sebagai zon merah dengan lebih 41 kes aktif.

Negeri yang tidak melaporkan sebarang kes jangkitan baharu di semua daerahnya dalam tempoh 14 hari boleh dianggap sebagai zon hijau, kata KKM.

Lembah Pantai di Kuala Lumpur kekal sebagai zon yang paling banyak kes iaitu 670 jangkitan. Daripada jumlah itu, 210 kes aktif.

Melihat kepada jumlah kes keseluruhan, 30 daerah dikategorikan sebagai zon merah dengan lebih 41 kes.

Malaysia semalam melaporkan keseluruhan 5,603 kes jangkitan dengan 1,966 kes aktif, dan 95  kematian setakat ini. – 24 April, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen