Keluarga B40 perlu lebih bantuan tunai selepas PKP lanjut


Sheridan Mahavera Desmond Davidson Zaim Ibrahim

Golongan berpendapatan rendah tidak pasti jika bantuan BPN yang diterima cukup untuk menampung kehidupan mereka susulan PKP dilanjutkan sehingga 12 Mei. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 24 April, 2020.

SUAMI Hamidah Husin masih belum terima gaji sejak majikan menutup kilang perabot susulan perintah kawalan pergerakan (PKP) bermula 18 Mac lalu.

Masuk minggu keenam PKP, keluarga tujuh beranak itu terpaksa bertahan dengan bantuan Bantuan Prihatin Nasional (BPN) RM2,000 untuk golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

Hamidah dan sembilan lagi keluarga yang ditemui The Malaysian Insight baru-baru ini berkata bantuan yang mereka terima tidak mampu bertahan jika PKP dilanjutkan lagi.

Sebelum PKP dikuatkuasakan, pendapatan isi rumah Hamidah selepas dicampur gaji suami dan anak lelakinya yang bekerja sebagai buruh binaan adalah sekitar RM3,500.

Pada pertengahan April, surirumah berusia 48 tahun itu menerima bantuan BPN RM1,000 dan baki RM600 pada Mei. Anaknya juga menerima bantuan dengan jumlah yang sama.

“Kami terpaksa berjimat dengan RM2,000 yang kami dapat pada April. RM600 lagi kena tunggu Mei,” kata Hamidah yang tinggal di flat kos rendah di Puchong, Selangor.

“Kami terpaksan kurangkan belanja dapur. Kalau tidak, tak cukup nak bayar sewa, bil api dan air. Kami tak ada pendapatan sejak PKP.”

Kata Hamidah, kalau PKP dilanjutkan lagi, dia tidak yakin baki RM600 bantuan BPN pada Mei nanti cukup.

“Saya tak dapat bayangkan kalau lanjut sampai Mei.”

Kerajaan melaksanakan PKP untuk memutuskan rantaian jangkitan Covid-19 dan dijangka mulanya dijadual berakhir 28 April. Bagaimanapun, ia dilanjutkan sehingga Mei 12.

Wabak Covid-19 sehingga kini menjangkiti 5,603 orang di Malaysia, dan meragut 95 nyawa.

Menerusi pakej rangsangan ekonomi bagi mengurangkan impak Covid-19, kerajaan Perikatan Nasional memperuntukkan lebih RM10 bilion untuk bantuan tunai di bawah BPN.

Isi rumah berpendapatan bawah RM4,000 sebulan akan menerima RM1,000 pada April manakala RM600 lagi pada Mei. Manakala isi rumah berpendapatan RM4,000 hingga RM8,000 pula akan menerima RM500 pada April dan RM500 pada Mei.

Sebanyak 5.1 juta isi rumah dijangka menerima bantuan tunai ini.

Selain itu, kira-kira tiga juta individu bujang berpendapatan bawah RM2,000 sebulan akan menerima RM800, manakala yang berpendapatan RM2,000 hingga RM4,000 akan menerima RM500.

Sebanyak 5.1 juta isi rumah dijangka menerima BPN. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 April, 2020.

Kurangkan makan untuk bertahan

Bantuan BPN memberi sedikit kelegaan kepada 10 keluarga berpendapatan rendah yang The Malaysian Insight temui di Selangor, Sarawak dan Pulau Pinang.

Tujuh daripada 10 keluarga ini berkata mereka hilang punca pendapatan sejak PKP bermula 18 Mac lalu kerana dibayar gaji mengikut hari atau diminta mengambil cuti tanpa gaji oleh majikan, seperti suami Hamidah.

Lima daripada tujuh keluarga ini pula adalah pekerja sektor tidak formal bukan pertanian, yang bergaji harian. Mereka ini sama ada pekerja bebas (freelancer) atau memiliki perniagaan mikro yang tidak berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) atau Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Suami Hamidah, walaupun bekerja dalam sektor formal, tetapi diberi cuti tanpa gaji oleh majikan. – 24 April, 2020.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen