Tiada bazar Ramadan, khidmat penghantaran jadi talian hayat peniaga


Mohd Farhan Darwis

Tiada pemandangan seperti ini pada Ramadan kali ini susulan bazar tidak dibenarkan beroperasi susulan arahan PKP. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 April, 2020.

PENIAGA makanan tiada pilihan mula beralih kepada kebiasaan baharu menggunakan sistem penghantaran terus ke rumah pelanggan selepas Putrajaya melarang sepenuhnya penganjuran bazar Ramadan sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP).

Bazar Ramadan, yang saban tahun jadi lubuk pendapatan berganda bagi peniaga dan medan yang menawarkan pelbagai pilihan kepada pengguna untuk berbuka puasa, dilarang bagi mengelak keramaian yang boleh mendedahkan risiko penularan Covid-19.

Dengan Ramadan yang bermula hari ini ketika PKP berjalan, peniaga yang dulunya menunggu pelanggan datang membeli di gerai kini menguruskan pesanan dalam talian untuk dihantar ke rumah.

Peniaga susu Azri Atan, 32, merancang menggunakan sepenuhnya kaedah hantar ke rumah demi memastikan perniagaannya terus bertahan sepanjang PKP, yang kini dilanjutkan sehingga 12 Mei.

“Saya merancang menggunakan perkhidmatan pesanan atas talian sepenuhnya untuk kali ini, kemudian kita akan buat penghantaran terus dari rumah ke rumah pelanggan,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Azri mula berniaga di bazar Ramadan sejak empat tahun lalu, dan kali ini, selain menjual susu, dia merancang untuk mempelbagaikan barang jualan untuk meningkatkan kutipan jualannya.

“Tahun ini juga saya akan menjual kurma. Saya juga merancang untuk jadi penghantar barangan, alang-alang dah buat penghantaran untuk produk jualan saya.

“Mana-mana peniaga yang ada produk mereka boleh gunakan saya untuk menjadi penghantar produk mereka kepada pelanggan,” kata peniaga yang berasal dari Segamat, Johor itu.

Muhammad Danial Aiman Zainuddin, 26, juga merancang menggunakan kaedah penghantaran dari rumah ke rumah untuk produk makanannya.

Beliau yang berniaga kedai makan di Felda Sungai Tengi, Hulu Selangor sebelum ini menerima tempahan katering, namun dihentikan buat sementara waktu kerana sekatan perjalanan oleh kerajaan.

“Sepanjang bulan puasa ini saya akan menjual pelbagai jenis produk makanan seperti nasi ambang, popia, karipap sejuk beku, dan takoyaki.

“Permintaan tinggi di kawasan Felda, mungkin sebab orang ramai tidak boleh keluar. Di Felda pun tiada khidmat penghantaran makanan, jadi saya juga akan buat penghantaran dari rumah ke rumah pelanggan,” kata bapa kepada seorang anak perempuan itu.

Dengan PKP dilaksanakan sepanjang Ramadan ini, peniaga dan pelanggan akan beralih menggunakan pesanan juadah berbuka puasa menerusi online dan penghantaran ke rumah. – Gambar fail The Malaysian Insigh, 24 April, 2020.

Sementara itu, Amirul Mohd Sani, 35, yang berniaga nasi kerabu dan air buah-buahan di bazar Ramadan di Kuala Lumpur bersama rakannya masih berkira-kira sama ada untuk berniaga atau tidak tahun ini.

“Tahun ini tidak ada permit bazar dikeluarkan, saya belum tahu lagi nak berniaga atau tidak,” katanya, yang menumpang tapak bazar rakan yang menjual makanan.

Pemuda berasal dari Kelantan itu juga menjangkakan pesanan untuk makanan sepanjang Ramadan ini akan berkurangan, berbanding tahun-tahun sebelum.

“Ada kawan jual nasi, dia rancang nak buat penghantaran menggunakan pekhidmatan penghantaran makanan. Kalau ada pesanan mungkin saya boleh selitkan tempahan yang saya terima.

“Tetapi takut juga pesanan tidak banyak, jadi macam membazir bahan mentah. Produk macam air buah atau nasi bukan boleh simpan lama,” katanya.

Penghantaran makanan antara perkhidmatan yang dibenarkan oleh kerajaan untuk terus beroperasi sepanjang tempoh PKP, selepas restoran dan premis perniagaan makanan hanya dibenarkan beroperasi secara minimum untuk makanan bungkus.

Selepas cadangan asal Kementerian Wilayah Persekutuan untuk menganjurkan bazar Ramadan pandu lalu, menteri kanan keselamatan Ismail Sabri Yaakob minggu lalu mengumumkan kerajaan memutuskan untuk melarang segala bentuk bazar Ramadan sepanjang PKP.

Beberapa negeri sebelum itu juga sudah membuat keputusan sama lebih awal bagi membendung penularan Covid-19.

PKP yang bermula 18 Mac lalu akan memasuki fasa keempat selepas dilanjutkan untuk dua minggu lagi sehingga 12 Mei ini. PKP sepatutnya ditetapkan berakhir pada 28 April.

Setakat semalam, 3,542 pesakit Covid-19 atau 63.2% daripada keseluruhan kes jangkitan di Malaysia telah sembuh.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah juga mengumumkan terdapat 71 kes baharu yang dikesan, menjadikan kes terkumpul setakat semalam sebanyak 5,603 kes, dengan 95 kematian. – 24 April, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen