.jpg)
PENGUATKUASAAN Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah membawa kesan yang besar terhadap kehidupan rakyat terutama golongan berpendapatan rendah (B40). Golongan ini kini berdepan dengan pelbagai kesulitan dan perlu diberikan perhatian segera oleh kerajaan.
Oleh itu, inisiatif pengagihan sebanyak 1,000 bakul makanan bernilai RM100 kepada setiap kawasan Parlimen bagi keluarga dari golongan B40 banyak membantu.
Bakul makanan yang mengandungi beras serta barangan makanan lain itu, perlu diagihkan segera kepada golongan yang memerlukan. Sebarang kelewatan pengagihan akan menjejaskan kumpulan B40.
Atas sebab itu kita runsing apabila dikhabarkan berlaku campur tangan politik dalam kerja-kerja pengagihan bakul berkenaan.
Antara yang menyuarakan perkara tersebut ialah Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching. Beliau memberitahu, bantuan makanan itu terganggu kerana campur tangan politik oleh kerajaan Perikatan Nasional.
Pihak pusat khidmat masyarakatnya telah menyediakan senarai nama kepada pejabat Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) daerah dan sejak itu, kira-kira 600 keluarga telah mendapat bantuan. Malangnya, bantuan berkenaan dikatakan terpaksa ditangguhkan kerana campur tangan politik.
Di Pulau Pinang, Ahli Parlimen Batu Kawan, Kasthuri Patto pada 15 April lalu menerusi Facebook memberitahu, wakil rakyat pembangkang terkejut apabila diberitahu bahawa JKM tidak akan menggunakan senarai penerima yang disediakan mereka, sebaliknya di Pulau Pinang, ia akan diuruskan oleh ahli Parlimen kerajaan.
Setelah dikatakan dipantau dan diluluskan, senarai penerima akan diberikan kepada Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Masyarakat, Rina Harun dan selepas itu baru diberikan lampu hijau untuk diagihkan.
Pengagihan bantuan ini dikatakan akan dijalankan menerusi parti politik contohnya, PAS, Umno meskipun ia datang dari Kementerian Kewangan, bukan parti politik.
Selepas itu Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh dilaporkan menggesa Rina menyegerakan pengagihan bakul makanan berkenaan.
Katanya, pengagihan bakul ke kawasan Parlimen tidak berjalan seperti yang diharapkan. Ketika itu, terdapat sekurang-kurangnya 54 kawasan parlimen pembangkang yang masih belum menerima sebarang bantuan tersebut.
Beberapa hari lalu, menurut Ahli Parlimen Cheras, Tan Kok Wai, sejumlah 750 bakul makanan yang disediakan kerajaan untuk golongan berpendapatan rendah didapati terbiar di Kompleks Sukan Bandar Tun Razak selama dua minggu dan tidak diedarkan.
Beliau yang juga pengerusi DAP berkata, bakul makanan itu, yang antara lain mengandungi beras dan barangan makanan lain, disediakan untuk diedarkan kepada 1,000 keluarga B40 di kawasan parlimennya.
Kes-kes ini hanyalah sebahagian daripada apa yang dilaporkan berlaku di lapangan ketika ini.
Dilaporkan juga, ada wakil rakyat pembangkang dilaporkan terpaksa mencari dana alternatif kerana tidak menerima bantuan bakul makanan itu. Mereka terpaksa mengumpul dana dari elaun sendiri dan sumbangan orang ramai.
Kesimpulannya, bakul makanan itu perlu sampai ke penerima secepat mungkin. Kalau boleh semalam.
Fokus utama kita adalah untuk meringankan beban golongan berpendapatan rendah ketika PKP ini.
Tinggalkan dahulu sentimen kepartian dan mari bersama memastikan semua rakyat terutama yang memerlukan, dibela sebaik-baiknya ketika PKP dan pasca PKP.
Kerajaan terutama KPWKM perlu memastikan 1,000 bakul makanan yang setiap satu itu bernilai RM100 itu diberikan kepada wakil rakyat di kawasan Parlimen mereka, tanpa mengira wakil rakyat itu pembangkang atau kerajaan.
Mari sama-sama melicinkan pengagihan bantuan ini. Yang penting, rakyat yang memerlukan dapat dibantu dengan segera. – 23 April, 2020.
* Ben Zack merupakan pembaca The Malaysian Insight.
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen