PERDANA Menteri Lubnan, Saad Hariri kembali ke negara asalnya kelmarin, pada malam hari kemerdekaannya dan selepas hampir tiga minggu pengumuman peletakan jawatannya yang mengejutkan.
Hariri membuat pengumuman melalui siaran televisyen pada 4 November dari Arab Saudi dan kemudian tinggal di Riyadh, di mana beliau menghabiskan masa dua minggu sebelum membuat perjalanan singkat ke Abu Dhabi, Paris dan Kaherah.
Pesawatnya tiba di lapangan terbang antarabangsa Beirut sejurus sebelum tengah malam, menurut satu kenyataan daripada pejabatnya.
Peletakan jawatannya mengejutkan Lubnan, tetapi tindakan Hariri terus tinggal di Arab Saudi menjadi misteri dan mencetuskan spekulasi dakwaan beliau ditahan di sana.
Hariri berjanji akan kembali ke Lubnan pada hari kemerdekaan ke-47 (Rabu) dan akan memperjelaskan kedudukannya.
Semalam, beliau ke Kaherah untuk bertemu Presiden Mesir Abdel Fattah al-Sisi, berterima kasih di atas sokongannya terhadap Lubnan selama ini.
Beberapa jam kemudian, Hariri terbang dari ibu kota Mesir, Kaherah ke Larnaca di Cyprus dan bertemu Presiden Nicos Anastasiades, kata jurucakap kerajaan Cyprus.
Selepas lawatan singkat itu, beliau terbang ke Beirut, di mana beliau dijangka mengambil bahagian dalam perarakan tentera hari kemerdekaan awal Rabu dan sambutan istiadat di istana presiden.
Parti dipimpin Hariri, Future Movement menggesa para penyokong berkumpul di rumahnya di pinggir bandar Beirut pada jam 1 petang waktu tempatan (1100 GMT). – AFP, 22 November, 2017.
Komen